Remaja Kini Banyak Habiskan Masa Menggunakan Internet

Generasi masa kini dilihat lebih banyak menghabiskan masa dengan bermain gajet atau peralatan elektronik berbanding membuat aktiviti di luar rumah. Meskipun kewujudan gajet diakui banyak memberi kelebihan untuk kegunaan harian masa kini, namun pastinya membawa keburukan jika penggunaannya tidak dikawal.

Satu tinjauan telah dilakukan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati 85.6 peratus remaja di kawasan Lembah Klang adalah pengguna internet dan 29 peratus daripadanya mengalami ketagihan internet.

"Memang tidak dapat dinafikan penggunaan gajet mempunyai banyak faedah, namun teknologi juga mampu memberi kesan negatif terutamanya kepada golongan ini jika mereka menyalahgunakannya tanpa pengawasan orang tua," ujar Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di dalam Dewan Rakyat hari ini.

Peranti yang digunakan oleh mereka untuk melayari internet adalah 94 peratusnya datang dari pengguna telefon pintar, komputer 62 peratus, manakala 31 peratus peranti tablet.

Tinjauan pendapat ini juga memperlihatkan 78.3 peratus ibu bapa di kawasan itu membenarkan anak-anak mereka memiliki gajet sejak di usia muda. Sikap masyarakat yang terlalu terikat dengan gajet ini membimbangkan sehingga kerana dikhuatiri menjadikan golongan muda ini tidak peka dengan keadaan disekeliling mereka.

Sebelum ini, LPPKN dengan kerjasama UNICEF telah menganjurkan forum yang membincangkan topik berkaitan keselaman kanak-kanak di alam siber dan jenayah seksual kanak-kanak.

Jadi, susulan bagi tinjauan ini, pihak kementerian juga bakal mengambil beberapa langkah dalam menangani isu tersebut termasuklah dengan mengadakan forum serta majlis ilmu kekeluargaan.

Sumber: Bernama