Reka Bentuk Takuk Didapati Kurang Popular Di Kalangan Pengguna Android

Sejak Apple menggunakan reka bentuk takuk pada peranti iPhone X mereka, rekaan tersebut kian menjadi pilihan buat kebanyakan syarikat pengeluar telefon pintar yang lain antaranya Nokia, Asus dan Huawei. Boleh dikatakan hampir kesemua pengeluar telefon pintar utama dunia sudah mempunyai peranti bertakuk mereka sendiri. Hanya Samsung sahaja yang masih belum mengeluarkan peranti bertakuk pada ketika ini, namun terdapat laporan mereka sudah pun mempunyai perancangan untuk membangunkannya.

Jika rekaan takuk ini berjaa menambat hati pengeluar, bagaimana pula dengan pengguna? Adakah mereka juga meminati reka bentuk sedemikian? Jika berdasarkan satu kajian yang dibuat oleh Android Authority, jawapannya adalah tidak. Majoriti daripada pengguna telefon pintar tidak menyukai dan tidak mahu reka bentuk takuk ini digunapakai pada peranti telefon pintar. Ia dapat dilihat pada paparan grafik di bawah.



Dapat kita perhatikan 38% daripada responden tidak akan membeli sebarang peranti bertakuk sama sekali manakala 21% pula tidak kisah berkenaan reka bentuk takuk ini. Dan cuma 5% daripada keseluruhan responden menggemari rekaan takuk ini dan berpendapat bahawa rekaan ini memberi kepuasan dalam penggunaan buat mereka.

Mengapakah sebahagian besar daripada pengguna telefon pintar tidak menggemari rekaan ini? Adakah ia mencacatkan rupa bentuk peranti? Pemerhati industri berpendapat, ianya bukan disebabkan itu. Penyebab utama pengguna menolak reka bentuk takuk ini ialah kegagalan untuk mencapai tujuan asal penggunaannya iaitu memaksimakan paparan skrin. Terdapat beberapa aplikasi yang mengalami masalah ini antaranya ialah Instagram dan Youtube.

 





Dua imej di atas diambil oleh pihak kami bagi menunjukkan fungsi Instagram StoriesĀ pada bahagian atas paparan tidak dapat dipaparkan secara penuh walaupun selepas fungsi takuk telah dimatikan pada peranti(gambar kedua). Ini akan menyebabkan sedikit gangguan kepada pengguna walaupun fungsi berkenaan tetap masih boleh digunakan. Tambahan pula, paparan video pada aplikasi Youtube turut terganggu.





Jika kita perhatikan imej diatas, apabila video yang dimainkan pada aplikasi Youtube dizoomkan bagi memberikan paparan penuh, sebahagian kecil daripada video akan terpotong dan tidak kelihatan. Perkara ini dikatakan berkait rapat dengan kegagalan sistem antaramuka untuk bekerjasama dengan reka bentuk takuk ini. Atas sebab itu, penggiat industri menjangkakan dengan pelancaran sistem Android P yang dilaporkan lebih mesra-takuk akan dapat menyelesaikan masalah ini.

Jadi, bagaimana pula pendapat anda berkenaan reka bentuk takuk ini? Suka atau sebaliknya?

Sumber