GEDEGANG!!! Bunyi air tin jatuh kebawah.
Kebiasaanya vending machine ataupun kita panggil sebagai mesin gedegang, menjual air tin dan pelbagai jenis makanan ringan. Selain daripada makanan ringan di mesin gedegang, saya juga pernah terserempak dengan mesin gedegang Hot Wheels, sempat saya beli satu untuk menambah koleksi.
Kali ini, realme juga ingin memasuki bidang mesin gedegang. Ini adalah hasil daripada kerjasama dengan SEGi College, Subang Jaya. Walaupun kedengaran janggal, namun saya boleh katakan yang konsep ini agak menarik, dan ia menyediakan solusi kepada masalah pelajar-pelajar kolej.
Ia bertujuan untuk memudahkan pelajar-pelajar kolej itu untuk membeli peranti ataupun gajet yang memudahkan tugas sebagai seorang pelajar di era moden ini. Antara produk AIoT realme yang tersedia pada mesin gedegang itu seperti realme Powerbanks, realme Mouse, realme Watch, realme Buds, dan banyak lagi.
Para pelajar hanya perlu memilih nombor produk, membuat bayaran, dan produk itu akan dikeluarkan serta merta. Selain itu, mesin itu juga boleh diakses 24 jam bagi memudahkan pelajar membeli apa yang diperlukan pada bila-bila masa.
realme Malaysia juga berkolaborasi dengan Shopee selaras pelancaran mesin gedegang ini. Pelajar yang berbelanja minimum RM20 melalui ShopeePay akan menerima pulangan tunai sebanyak RM2 ke dalam ShopeePay bonus wallet mereka, daripada 8 Disember hingga 31 Disember 2021.
Selain itu, pelajar juga dapat menikmati diskaun tambahan melalui ShopeePay sebanyak RM2 untuk realme Mobile Game Finger Sleeve dan kabel USB Type-C daripada 8 Disember sehingga 14 Disember 2021.
Saya percaya ini adalah sebuah insiatif yang harus dipuji kerana secara tidak langsung, ia memudahkan kehidupan seorang pelajar. Sebagai seorang bekas pelajar universiti, saya juga mengalami masalah transportasi untuk ke kedai gajet. Oleh itu, saya berharap agar konsep ini boleh diteruskan dan digunapakai oleh lebih banyak syarikat untuk memudahkan para pelajar.
Pelajar adalah pelapis negara.
Baca juga: