Bila bercerita tentang telefon bajet, jenama telefon yang mungkin akan terlintas dalam fikiran kita adalah realme atau Xiaomi.
Disebabkan realme banyak menghasilkan telefon bajet, saya disini akan mengulas salah satu telefon bajet tahan lasak dari syarikat ini dan ianya adalah realme Narzo 50i.
Spesifikasi
- Dimensi: 165.2 x 76.4 x 8.9 mm
- Paparan: IPS LCD 6.5 inci
- Cipset: Unisoc SC9863A
- Memori: 2GB RAM, 32GB storan
- Kamera: 8MP (f/2.0) utama, 5MP (f/2.2) swafoto
- Bateri: 5000mAh (pengecasan berbalik)
- Varian: 32GB+2GB RAM, 64GB+4GB RAM
Rekaan Ala-ala tahun 2014
Jika anda ingat lagi rekaan telefon pintar 7-8 tahun lepas, realme Narzo 50i ini mengekalkan rekaan yang sebegitu. Tidak pasti sama ada realme ingin mengembalikan nostalgia menggunakan telefon lama atau ada matlamat lain.
Rekaan yang digunakan pada peranti ini adalah rekaan jenis plastik pada panel belakang. Jenis plastik yang digunakan memang nampak seperti plastik dan tidak seperti peranti lain yang menggunakan polikarbonat dengan kemasan premium. Senang kata nampak murah.
Selain itu, pembesar suaranya juga pada bahagian panel belakang. Kalau nak dengar bunyi dengan jelas perlu letak peranti dengan paparan menghadap ke bawah agar. Memang macam telefon dulu-dulu.
Tidak berhenti disitu, realme juga mengekalkan lubang pengecasan jenis mikro-USB. Mengapa masih lagi menggunakan mikro-USB? Ya saya tahu ini adalah telefon bajet, tetapi Xiaomi pun mampu memberikan pengecasan USB-C pada telefon bajet mereka. Mengapa tidak realme?
Sebab itulah saya mengatakan telefon Narzo 50i ini ala-ala tahun 2014. Kalau bagi anda pula bagaimana?
Antara muka ringan untuk menyokong cipset kelas bawahan
Saya rasa anda pasti tahu bagaimana prestasi sesebuah peranti yang menggunakan cipset kelas bawahan. Peranti akan menjadi ‘berat’ dan mungkin ada yang akan sakit hati untuk gunakan terus peranti tersebut. Jadi untuk mengatasi masalah ini, realme telah membangunkan antara muka yang lebih ringan agar ia dapat disokong oleh cipset kelas bawahan ini.
realme menggunakan antara muka realme UI versi Go Edition yang mana antara muka ini lebih ringan jika dibandingkan dengan saudara peranti realme yang lain. Disebabkan lebih ringan, fungsi-fungsi lain seperti split screen, fullscreen gesture dan lain-lain tidak disertakan bagi melancarkan pengalaman penggunaan peranti ini. Dengan itu, peranti ini hanya sesuai untuk kegunaan ringan seperti layan YouTube, Netflix dan menatal media sosial.
Ada kelebihan walaupun harga bajet
Jadi, dengan spesifikasi yang seperti ini, realme Narzo 50i ini sesuai untuk siapa? Saya akan sarankan peranti kepada anda yang sedang mencari telefon pintar kepada anak-anak atau ibu bapa mereka.
Kerana apa saya berkata begitu? Mari sini saya beritahu. Yang pertama, peranti ini sangat tahan lasak. Seperti yang kita tahu, anak-anak kecil ini tidak berapa cermat untuk mengendalikan telefon pintar ini. Kadang-kadang, telefon pintar ibu bapa boleh pecah disebabkan dicampak oleh anak-anak.
Jika menggunakan peranti Narzo 50i ini, anda tidak perlu risau lagi kalau telefon ini telepas atau tercampak kerana binaan pada peranti ini adalah plastik. Tambahan lagi terkena air pun tiada masalah kerana realme dakwa yang peranti ini mempunyai ciri kalis renjisan air.
Kapasiti bateri pada peranti ini adalah 5000mAh. Bateri memang besar. Penggunaan satu hari guna pun tidak perlu risau. Alang-alang bateri besar, realme menyertakan satu lagi fungsi yang berguna iaitu pengecasan berbalik (reverse charging). Pendek kata ia seperti powerbank lah. Kalau tiba-tiba habis bateri, Narzo 50i ini boleh jadi penyelamat tapi perlu sediakan wayar sendiri.
Itulah antara kelebihan yang terdapat pada realme Narzo 50i yang saya rasa ia berlainan dari peranti bajet lain.
Sesuaikah untuk beli telefon bajet ini?
Seperti yang saya nyatakan tadi, kelebihan realme Narzo 50i yang saya rasa berguna pada saya adalah 2 perkara sahaja iaitu tahan lasak dan pengecasan berbalik. Tapi anda rasa berbaloi atau tidak untuk beli peranti bajet ini?
Jika ditanya pada saya, saya lebih sarankan peranti lain dari realme sendiri iaitu realme C21 yang baru dilancarkan pada awal tahun ini atau Xiaomi Redmi 9 yang dilancarkan pada tahun lepas yang lebih berbaloi daripada realme Narzo 50i ini.
Namun, jika peranti yang anda cari adalah tahan lasak untuk diberikan kepada anak-anak anda, Narzo 50i ini adalah peranti yang sesuai untuk anda.