Reaksi Awal ASUS ROG Phone 6 Pro - Telefon 'Gaming' Lain 'Level'

Asus ROG telah pun melancarkan 2 peranti baharu dalam barisan ROG Phone mereka pada tahun ini dan salah satunya adalah ROG Phone 6 Pro. Versi Pro merupakan model paling berkuasa dan ini merupakan reaksi awal daripada kami akan peranti gaming yang "ultra" ini.

ROG Phone 6 Pro


Pada pendapat saya, variasi warna putih pada peranti Pro ini lebih menonjol, menyerlah dan membuatkan saya tidak tidur malam akan kecantikan dan rekaan luaran yang ada pada panel belakangnya.



Apabila memegang peranti ini, sungguh terasa akan kualiti binaan pada peranti ini yang premium, kukuh dan solid. Bukanlah satu kerugian bagi mereka yang membeli peranti ini dek kerana jatuh cinta pandang pertama selepas memegang dan mencubanya buat pertama kali.

ROG Phone 6 Pro menawarkan tekstur sentuhan matte yang estetik, bukan magnet cap jari dan lebih mesra gaming kepada anda terutamanya. Selain itu, terdapat skrin di panel belakang peranti ini dengan paparan dan fungsi yang berbeza.

Jika anda memegangnya secara mendatar yang lalai (lensa kamera disisi kiri anda), skrin atas di panel belakang memaparkan tulisan moto "DARE TO PLAY". Selari dengan identiti siri ROG Phone yang memberikan prestasi yang diinginkan para gamer.

Selain itu, tarikan utama pada ROG Phone 6 Pro ini adalah skrin di bawah yang mempunyai fungsi paparan animasi bergerak terutamanya apabila anda mula bermain permainan mudah alih. Skrin ini mirip yang wujud dalam komputer riba Zenbook 14X OLED Space Edition.

Ia sememangnya unik dan menambahkan lagi estetik gaming pada ROG Phone 6 Pro ini serta membezakan mereka dengan pesaing-pesaing lain dalam segmen ini.

Aeroactive Cooler 6


Selain memperkenalkan siri ROG Phone 6, seperti biasa ROG juga memperkenalkan aksesori kipas penyejukan Aeroactive Cooler baharu generasi ke-6. Berdasarkan perbandingan dengan versi pendahulunya (Aeroactive Cooler 5), anda dapat melihat bahawa ROG telah mempertingkatkan rekaan luaran Aeroactive Cooler 6.



Bagi saya, rekaan Aeroactive Cooler lebih menarik dan menyerlah dalam edisi ke 6 ini. Pengenalan warna putih yang baharu dan peletakan warnanya pada butang 'trigger' disisi penyejuk ini sangat sesuai bagi sebuah elemen baru.



Selain itu, rekaan kali ini lebih memaparkan estetik dan elemen 'gaming' itu sendiri dan secara tidak langsung menunjukkan kesungguhan Asus ROG dalam menghasilkan aksesori wajib untuk ROG Phone 6 ini. Tidak lupa juga untuk saya tekankan Aeroactive Cooler 6 mempunyai bentuk dan rekaan yang 'garang' dan padu berbanding generasi ke 5 sebelum ini.

Walaupun Aeroactive Cooler 6 dan 5 diperbuat daripada bahan asas yang sama, plastik tetapi saya sendiri berasa terdapat perbezaan dalam kualiti binaan antara kedua-duanya. Kualiti binaan pada Aeroactive Cooler 6 terasa lebih baik, bagus dan solid berbanding pendahulunya. Oleh itu, kita boleh jangkakan ia mempunyai ketahanan yang lebih baik berbanding Aeroactive Cooler 5.

Di samping itu, Asus ROG telah memberi 4 butang trigger tambahan pada Aeroactive Cooler 6 dengan jumlah keseluruhan 6 butang trigger (2 air trigger pada sisi ROG Phone 6, 4 trigger pada belakang Aeroactive Cooler 6).

Sejujurnya, saya lebih menyukai butang trigger ada model kali ini atas beberapa sebab solid. Pertamanya, butang trigger baharu ini mempunyai permukaan yang lebih luas dan membantu dalam kecekapan semasa bermain sebarang permainan mudah alih yang memerlukannya.

Kapsyen: Aeroactive Cooler 6 VS Aeroactive Cooler 5


Seterusnya, pengalaman menekan butang trigger ini lebih baik dan menarik daripada Aeroactive Cooler 5 kerana ia lebih terasa sedap ditekan dan responsif dalam tindak balasnya. Jika dibandingkan, trigger Aeroactive Cooler 5 tidak memberi pengalaman dan rasa penggunaan yang sama seperti model kali ini walaupun mempunyai fungsi yang sama.



Kita tahu bahawa penggunaan lain Aeroactive Cooler adalah sebagai pemegang telefon (phone holder) bagi ROG Phone ini. Tetapi Aeroactive Cooler 6 menawarkan 3 sudut darjah penggunaan dalam fungsinya sebagai phone holder - Sudut tegak 90 darjah, sudut sekitar 70 darjah (dengan tongkat) dan sudut sekitar 50-60 darjah (tanpa tongkat).

Tetapan sudut yang pelbagai daripada Aeroactive Cooler 6 ini menawarkan penggunaan ROG Phone 6 yang banyak seperti menonton filem atau video, menjadi skrin kedua dalam tugasan profesional dan banyak lagi. Saya lebih menyukai penggunaan dalam tetapan tanpa tongkat kerana ia memberikan sudut yang lebih baik dan standard dalam penggunaannya sebagai skrin kedua.

Pengiraan yang tepat dan pengagihan berat yang betul membuatkan kedua-dua peranti dan aksesorinya menjadi seimbang dan tidak jatuh apabila kita menggunakannya tanpa sokongan tongkat.

ROG Kunai 3 Gamepad


Berbanding pendahulunya, aksesori Kunai 3 Gamepad ROG Phone 6 Series Edition kali ini menawarkan variasi model dalam warna putih. Satu pendekatan baharu dan berbeza berbanding sebelumnya tetapi sangat dialu-alukan.

Hal ini demikian, warna putihnya memang sesuai dan cantik apabila dipadankan ROG Phone 6 Pro warna putih yang kami gunakan. Secara asasnya, aksesori Kunai kali ini mempunyai rekaan yang sama tetapi sedikit berbeza.

Kapsyen: Kunai 3 Controllers / Kunai 3 Charger


Kunai 3 Gamepad ini hadir dengan 3 komponen - Kunai 3 Controller, Kunai 3 Charger, Kunai 3 Bumper dan Kunai 3 Grip yang memberi genggaman tambahan dalam pengalaman penggunaan gamepad ini.

Kapsyen: Kunai 3 Bumper (atas) / Kunai 3 Grip (bawah)


Antara perkara menarik dalam variasi ini adalah gandingan warna kelabu dan putih dalam rekaan keseluruhan gamepad. Kunai Controller dan Charger mempunyai warna putih pada casisnya, manakala Kunai Grip dan butang-butang yang lain mempunyai warna kelabu muda.

Konfigurasi perbezaan warna yang tidak begitu ketara tetapi membantu dalam pengalaman menggunakan gamepad ini terutamanya dalam bermain permainan mudah alih. Dan jangan risau kerana Asus ROG masih mengekalkan 3 mod penggunaan gamepad ini pada siri ROG Phone 6.



Anda boleh memasang Kunai Controller pada ROG Phone 6 Pro melalui casing khasnya Kunai Bumper dan boleh merasai pengalaman bermain yang hampir sama (mode - Handheld) seperti konsol Nintendo Switch atau Steam Deck.

Kapsyen: (Mod Handheld) Bersama Aeroactive Cooler 6


Selain itu, anda juga boleh menggunakan aksesori ini sebagai sebuah Gamepad (mode - Mobility) melalui komponen Kunai Controller dan Kunai Charger. Rekaan ini lebih kompak, fleksibel dan sangat sesuai untuk anda yang mempunyai tapak tangan yang 'comel'.

Kapsyen: (Mod Mobility)


Jika anda seorang pemain yang ekstrem seperti saya, anda boleh memasang sekali Kunai Jumper pada gamepad (mode - All-in-One) ini untuk mendapatkan grip tambahan dan memberi pengalaman yang lebih hebat lagi.



Secara keseluruhannya, Asus ROG jarang sekali gagal dalam memberikan kejutan, peningkatan dan pembaharuan yang menarik dalam siri ROG Phone mereka setiap tahun.

Sekiranya anda ingin mengetahui sejauh mana kemampuan prestasi telefon gaming ROG baharu ini, nantikan ulasan daripada kami dalam masa terdekat.