(ULASAN) ASUS Zenbook 14X OLED Space Edition Buat Anda Nampak 'Cool'

ASUS Malaysia telah pun membawa masuk secara rasmi barisan komputer riba terbaru mereka ASUS Zenbook OLED edisi 2022.

Dalam barisan komputer riba itu, ASUS telah menghasilkan edisi khas ASUS Zenbook dengan kemunculan ASUS Zenbook 14X OLED Space Edition.

Untuk pengetahuan anda, ASUS bukan saja-saja menghasilkan edisi ASUS Zenbook 14X OLED Space Edition, tetapi ia adalah bersempena dengan ulang tahun ke-25 khusus bagi memperingati pencapaian komputer riba ASUS P6300 yang telah berada di orbit Bumi lebih daripada 600 hari dalam Stesen Angkasa Mir.

Malah komputer riba ASUS P6300 itu juga terselamat daripada kegagalan kuasa dan kebakaran yang berlaku dalam stesen angkasa tersebut.

Kapsyen: Komputer riba ASUS P6300.

ASUS Zenbook 14X OLED Space Edition


Bertemakan rekaan angkasa yang unik, ASUS Zenbook 14X OLED Space Edition disaluti dengan warna istimewa Zero-G Titanium dengan dilengkapi spesifikasi berkuasa.

Komputer riba istimewa ini ditawarkan dengan pilihan cip pemprosesan Intel Core-i5/i7/i9 Gen-12, kuasa grafik dari Intel Iris Xᵉ Graphics, menyokong sehingga 32GB RAM LPDDR5 serta kapasiti storan sehingga 1TB.

Kapsyen: ASUS Zenbook 14X OLED Space Edition dilengkapi dengan skrin ZenVision bersaiz 3.5 inci. Visual paparannya boleh diubah dalam 4 mod iaitu SPace mode, Time battery, Music EQ dan Status yang boleh dikawal menerusi perisian MyASUS..

Skrin Sentuh 14 Inci Yang Begitu Cantik


Kelebihan utama ASUS Zenbook 14X OLED Space Edition ini adalah ia dilengkapi dengan skrin sentuh 14 inci serta sokongan kadar segar 90Hz yang begitu cantik dan responsif sekali.

Sepanjang menggunakannya, Penulis begitu kagum dengan kualiti visual dan warna yang begitu cantik dipaparkan oleh skrin OLED komputer riba ASUS ini.

Malah skrin sentuhnya juga begitu responsif, langsung tiada pengalaman responsif lambat sepanjang penulis menggunakannya.

Kapsyen: Skrin sentuh OLED 14 inci beresolusi tinggi (2.8k) pada komputer riba ini memang cemerlang.

Rekaan Moden Dan Kelihatan Futuristik


Menambahkan seri pada komputer riba ini adalah ia diselaputi dengan warna Zero-G Titanium serta cetakan bertemakan angkasa termasuklah kod Morse di bahagian depannya serta paten Stesen Angkasa MIR di bahagian rehat tangannya.

Kapsyen: Rekaan nipis ASUS Zenbook 14X OLED Space Edition menjadikannya hanya seberat 1.4Kg sahaja.

Prestasi Memuaskan


Dari aspek prestasi, ASUS Zenbook 14X OLED Space Edition berfungsi dengan agak baik bersama sistem operasi Windows 11.

Cip berkuasa dari Intel Core Gen-12, storan dan RAM pantas memberikan prestasi memuaskan sepanjang menggunakannya.

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa isu yang sedikit menjengkelkan sepanjang penulis menggunakannya.

Kapsyen: Penulis juga berdepan isu Blue Screen Of Death (BSOD) ketika menguji komputer riba ini. Puncanya sudah tentulah sistem Windows 11 komputer riba ini.

Warna Menenggelamkan Papan Kekunci


Warna Zero-G Titanium yang menyeliputi komputer riba ini keseluruhannya termasuklah pada papan kekunci menyebabkan ia memberikan refleksi cahaya apabila melihatnya.

Sekaligus huruf-huruf yang terdapat di atas papan kekunci kurang jelas dilihat.

Tambahan pula, cahaya skrin menambah lagi kesan bias cahaya yang sedikit menyilaukan mata apabila menaip di komputer riba ini.

Pada pendapat penulis, warna papan kekunci sepatutnya gelap supaya mudah dilihat dan tidak mengganggu penglihatan.

Bateri Tidak Tahan Lama


Sebagai sebuah komputer riba, pastinya salah satu ciri utama yang dimahukan pengguna adalah ketahanan baterinya.

Malangnya, penulis hanya dapat mengoperasikan komputer riba ini selama kurang dari 5 jam sahaja dengan menggunakan kuasa bateri.

Tempoh itu adalah bagi tetapan kadar segar skrin 60Hz, sambungan Wi-Fi serta melakukan kerja-kerja menaip sahaja.

Apabila menetapkan kadar segar skrin kepada 90Hz pula, bateri komputer riba ini hanya bertahan kurang dari 3 jam sahaja.

Jadi, ini merupakan satu kelemahan paling ketara yang ada pada ASUS Zenbook 14X OLED Space Edition ini.

Kapsyen: Walaupun dilengkapi dengan sistem audio dari harman kardon dan sokongan Dolby Atmos, kualiti audio yang dihasilkan ASUS Zenbook 14X OLED Space Edition adalah sekadar memuaskan pada pendapat penulis. Getaran pada kerangka komputer riba ini yang terhasil dari audio juga agak kuat dirasa penulis.

Kesimpulan


Sepanjang menggunakan komputer riba ASUS Zenbook 14X OLED Space Edition hampir sebulan lamanya, apa yang penulis boleh simpulkan adalah komputer riba ini merupakan sebuah mesin berprestasi sederhana.

Tetapi skrin OLED 14 incinya memang cemerlang, terbaik dan memang puas memandangnya.

Rekaan moden dan futuristik serta warna dengan corak menarik menyeliputinya menyerlahkan lagi komputer riba ini.

Skrin kecil ZenVision bersaiz 3.5 inci menjadikan ASUS Zenbook 14X OLED Space Edition kelihatan sangat 'cool' dan bergaya.

ASUS juga tak kedekut untuk menyertakan sekali dengan beg edisi khas serta rekaan pakej yang menarik bagi ASUS Zenbook 14X OLED Space Edition ini.



Harga jualan rasmi bagi komputer riba ASUS Zenbook 14X OLED Space Edition ini adalah bermula dari RM5,599.00 yang sudah pun boleh dibeli dari stor seperti Shopee dan Lazada.

Untuk info lebih lanjut tentang spesifikasi dan ciri-ciri lain yang ada pada komputer riba ini, layari laman rasmi Zenbook 14X OLED Space Edition ASUS Malaysia

https://youtu.be/frmbnNH7bLU
Beli ASUS Zenbook 14X OLED Space Edition di:

Shopee - https://invle.co/clbmv11

Lazada - https://invol.co/clbmv2x