Semakin rancak nampaknya arena pasaran lipat-melipat. Baru lagi kita melihat OPPO mencelup kaki dalam kategori ini melalui OPPO Find N. Namun, sebelum-sebelum itu, Huawei terlebih dahulu sudah aktif dalam kategori melipat dengan produk Huawei Mate X, Xs, X2 mereka.
Seperti mengambil inspirasi dari Samsung yang hadir melipat pengguna dalam 2 kategori iaitu Fold dan Flip, Huawei pun turut ada muslihat mereka melalui Huawei P50 Pocket. Telefon flip versi Huawei pula.
Huawei P50 Pocket ini sebenarnya baru sahaja dilancarkan di China pada 23 Disember dan kami berkesempatan untuk bermain-main dengan telefon ini sebentar.
Spesifikasi Huawei P50 Pocket
- Skrin: OLED, 6.9 inci (1188 x 2790), 21:9, 120Hz
- Cip pemprosesan: 5nm Snapdragon 888 4G (Adreno 660)
- Mebmori: RAM 8GB/12GB, Storan 128GB/512GB
- 3 kamera belakang: 40MP(f/1.8) Utama + 13(f/2.2) Sudut Lebar + 32MP (f/1.8)
- Swafoto: 10.7MP(f/2.2)
- Bateri: 4,000mAh (USB Type-C) dengan 40W
- Perisian: EMUI 12,0,1
Reaksi Awal Huawei P50 Pocket
Jika anda mengikuti produk keluaran Huawei, anda pasti sudah kenal dengan telefon pintar andalan baharu mereka iaitu siri Huawei P50. Dengan Huawei P50 Pocket, Huawei cuba melakukan 2 perkara sekaligus – mengecilkan Huawei P50 dan menghasilkan sebuah telefon flip.
Dari jauh pun memang sudah jelas nampak “ini memang P50 yang dikecilkan”. Dengan modul kamera direka bulat atas bawah menyerupai Huawei P50, ia saling tak tumpah seperti abang besarnya.
Namun, berbeza dengan Huawei P50, tiada lagi 2 bonggol kamera, sebaliknya ia digantikan dengan skrin kedua berbentuk bulat. Adakah ini inovasi? Sebelum ini kita sudah melihat Samsung Galaxy Z Flip3 hadir dengan skrin kedua di bahagian belakang. Cumanya kali ini Huawei P50 Pocket menggunakan skrin bulat berbanding petak pada Samsung.
Selain boleh digunakan sebagai alat selfie, skrin ini juga boleh digunakan sebagai widget aplikasi antaranya termasuklah cuaca dan pemain media.
Kualiti Lipatan
Perkara pertama yang saya perasan pada Huawei P50 Pocket adalah telefon ini sangat licin. Huawei menggunakan kemasan glossy bercorakkan berlian. Cantik dilihat. Dilipat? Mungkin tidak. Lagi-lagi jika mahu melipat telefon sebelah tangan, terasa perlu sangat berhati-hati agar telefon ini tidak terjatuh dan terhempas berkecai.
Saya ingat lagi pengalaman melipat dan menggunakan Samsung Z Flip3. Setiap darjah melipat terasa sangat ketat dan selamat. Engsel terasa kukuh munculnya ayat “kalau hinge macam ni, confirm boleh tahan lama”.
Lipatan Huawei P50 Pocket terasa sedikit longgar. Namun bukannya perkara yang buruk. Lebih kepada citarasa sendiri sama ada sukakan engsel yang ketat atau sedikit longgar. Apa yang pasti bila sudah sedikit longgar sebegini, sudah tentu persoalan ‘sama ada ia akan tahan lama atau tidak’ akan terkeluar secara tiba-tiba.
Satu benda yang menarik adalah lipatan P50 Pocket sebenarnya tidak mempunyai lohong. Tiada langsung ruang antara lipatan skrin atas dan bawah. Ia tidak seperti Galaxy Z Flip3 yang boleh dilukis segi tiga apabila dilipat. Ini benda baharu yang Huawei berjaya buat.
Mengaitkan dengan lipatan, apa cerita dengan kualiti panel skrinnya pula?
Sama seperti mana-mana skrin lipat lain, P50 Pocket turut menggunakan skrin plastik. Melihat dengan lebih dekat, terdapat 2 aspek yang perlu ditekankan iaitu kesan lipatan di tengah dan juga kualiti skrin pada bahagian atas dan bawah telefon.
Lipatan di tengah nampak seperti mana-mana skrin telefon lipat lain. Bukan yang terbaik dan boleh lagi diperbaiki. Cumanya perhatian diberikan pada panel skrin atas dan bawah kerana terasa menggelembung apabila ditolak dan ditarik. Melalui pengamatan saya, pengalaman ini mungkin lebih kurang sahaja seperti skrin Huawei Mate Xs yang sedikit lebih konservatif.
Antara perkara lain yang mengujakan adalah kenipisan telefon. Huawei P50 baik ketika dilipat atau dibuka, memang terasa telefon ini sangat nipis berbeza dengan telefon-telefon lipat yang lain.
Huawei P50 Pocket tidak mempunyai penarafan IP68, bermakna ada ruang untuk Huawei menaik taraf lagi kualiti pembinaannya setaraf dengan kualiti yang Samsung persembahkan dengan telefon lipat mereka.
Rumusan
Huawei P50 Pocket merupakan sebuah lagi produk lipat Huawei kali ini memfokuskan kepada flip pula. Pengalaman pegang semestinya merupakan satu pengalaman baharu terutamanya kenipisan telefon yang dirasa agak berbeza dengan telefon lipat lain. Tambahan lagi, Huawei menunjukkan taringnya mempersembahkan telefon lipat tanpa ada lohong antara skrin. Yang mana benda bagus kita puji dan bagi kredit.
Huawei P50 Pocket bakal masuk ke pasaran Malaysia namun tarikh tepatnya masih belum lagi diketahui. Di China, ia dijual pada tanda harga bermula RM5900. Sebagai perbandingan, Samsung Galaxy Z Flip3 dijual bermula RM3,999 di Malaysia sebagai alternatif pengguna.
Baca juga: