Razer sentiasa membawakan konsep komputer yang bombastik. Pada acara CES 2022 ini juga, Razer masih lagi menjadi syarikat yang menjadi tumpuan kepada syarikat pembina dan peminat komputer.
Untuk konsep terbaharu yang dibawakan oleh Razer kali ini adalah Project Sophia yang mana konsep ini merupakan sebuah komputer yang menggunakan binaan seperti meja. Hendak lebih tepat lagi, ia seperti komputer meja LCARS dari filem Star Trek.
Konsep Project Sophia membawakan rekaan yang mana sebanyak 13 slot modul boleh tukar. Antara slot modul ini adalah pembaca suhu, skrin sentuh aplikasi pelancar, pemapar kalendar, pengecasan wayarles, pemanas cawan, monitor CPU dan GPU dan banyak lagi.
Razer memperkenalkan ciri ini kerana dengan konsep Project Sophia kerana ia memudahkan pengguna untuk menukar modul pilihan mereka mengikut apa yang mereka utamakan.
Selain daripada memperkenalkan slot modul, Razer juga kenalkan konsep Project Sophia ini sebagai sebuah meja PC. Ini bermakna, CPU, GPU, RAM dan komponen komputer lain semuanya dipasang pada meja ini.
Seperti yang kita tahu, konsep yang dibawa Razer biasanya hanya menjadi konsep dan jarang sekali konsep ini menjadi kenyataan. Tetapi tidak mustahil untuk syarikat komputer lain menggunakan konsep ini untuk menghasilkan komputer meja pada masa akan datang.
Sumber: The Verge