Terdahulu, realme mengesahkan kehadiran realme GT 2 Pro. Dikatakan peranti terbaru mereka itu adalah yang paling premium dalam mana-mana barisan telefon pintar realme.
Tidak perlu menunggu lama, realme akhirnya memberikan tarikh pelancaran siri realme GT 2 di mana bakal mengambil tempat pada 4 Januari 2022.
Bukan itu sahaja, telefon tersebut turut akan diperkenalkan bagi versi global pada hari yang sama. Nampaknya, mungkin ia masuk pasaran Malaysia dalam masa terdekat sejurus dilancarkan nanti.
Dikhabarkan terdapat dua peranti dalam siri ini, iaitu realme GT 2 dan realme GT 2 Pro. realme GT 2 dilaporkan menampilkan rekaan yang hampir sama dengan peranti realme lain.
Ia mungkin didatangkan cip Snapdragon 888, memori sehingga 12GB RAM, storan sehingga 256GB, bateri 5000mAh, skrin 6.62 inci serta tiga tetapan kamera.
Manakala realme GT 2 Pro pula, ia dijangka menjadi tumpuan utama. Ini kerana telefon tersebut mempunyai rekaan sangat berbeza, mirip Nexus 6P.
Desas-desus menyatakan ia dilengkapi cip terbaru Snapdragon 8 Gen 1, memori sehingga 12GB RAM, storan dalaman sehingga 1TB, 65W kelajuan mengecas serta dua tetapan kamera 50MP bersama 8MP. Malah, mungkin model ini mempunyai kamera di dalam skrin.
Baca juga: