Sebelum ini, kami ada menulis berita berkenaan dengan penggunaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang akan mula beroperasi 15 Januari 2022. Meskipun begitu, dilihat masih ramai lagi rakyat Malaysia yang masih belum berpindah untuk menggunakan teknologi pembayaran tol tersebut.
Menurut Mohd Yusof Abdul Rahman, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia, Touch ‘n Go ini melambatkan pergerakan kereta di tol kerana pengguna perlu menunggu untuk palang dibuka. Selain itu, proses tambah nilai Touch ‘n Go melecehkan kerana pengguna perlu pergi ke kedai serbaneka atau stesen minyak.
Beliau juga mengharapkan reaksi yang positif kerana RFID menyokong tambah nilai yang lebih mudah dengan menggunakan kad debit, kredit mahupun perbankan atas talian dengan menggunakan telefon pintar sahaja.
Seperti yang berlaku ketika perubahan kepada penggunaan Touch ‘n Go sebelum ini, rakyat akan mengambil masa untuk beralih menggunakan RFID. Menurutnya juga, rakyat Malaysia masih tidak beralih kepada penggunaan RFID kerana masih kurang pencerahan mengenai RFID ini.
Namun kenyataan ini dibahas oleh Datuk Nadzim Johan, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia. Menurutnya, rakyat Malaysia sudah terbeban dengan Covid-19 dan ini bukan masa yang sesuai untuk memaksa rakyat bertukar kepada RFID.
Selain itu, Touch ‘n Go ini juga lebih memudahkan kerana boleh digunakan untuk membayar parking, pengangkutan awam dan sebagainya. Begitu juga dengan pemindahan baki daripada Touch ‘n Go ke RFID yang masih belum jelas.
Buat masa ini, lebuhraya PLUS masih lagi mengekalkan lorong Touch ‘n Go kerana memahami masih ramai lagi rakyat Malaysia yang menggunakan kemudahan tersebut. Selain itu,RFID mempunyai seramai 1.2 juta pengguna dan kementerian Kerja Raya menyasarkan bilangan pengguna ini akan mencecah 60% pada penghujung 2022 dan akan menamatkan perkhidmatan Touch ‘n Go pada penghujung 2023.
Sumber: Bernama
Baca juga: