RAM Telefon Android Sampai 16GB Gimik Sahaja, 8GB-12GB RAM Sebenarnya Dah Cukup

Konsepnya mudah. Lebih banyak jumlah RAM, lebih banyaklah jumlah aplikasi atau proses yang boleh dibuka.

Dalam pasaran telefon Android, RAM lebih besar boleh ditemui dalam model lebih premium, sementara kelas bajet dan pertengahan lebih marhaen jumlah RAM yang dibekalkan.

Namun begitu sejak dari zaman dahulu lagi, jenama telefon sering berlumba-lumba menyumbat jumlah RAM yang tinggi untuk menarik minat pengguna.

Pada tahun 2014, kebanyakan telefon kelas andalan hanya mempunyai jumlah RAM maksimum 3GB. Jumlah itu kemudiannya membesar kepada 4GB untuk era 2016/2017.

Pada masa yang sama 4GB untuk zaman sekarang adalah merupakan jumlah RAM yang banyak ditemui pada kelas telefon Android bajet.

Ini menimbulkan pertanyaan, sebenarnya berapakah banyak RAM yang telefon Android perlukan?

Untuk menjawab persoalan itu, kami merujuk kepada eksperimen yang dijalankan oleh pihak Android Authority yang membandingkan jumlah ideal RAM antara model telefon Android.

Melalui perbandingan yang dibuat antara 3 telefon iaitu Samsung S21 Ultra (12GB RAM) OnePlus 9 Pro (8GB RAM) Google Pixel 3XL (4GB RAM), mereka telah menguji untuk membuka beberapa aplikasi dan juga permainan bagi melihat jumlah maksimum aplikasi yang boleh dibuka.

Menerusi dapatan mereka, Samsung Galaxy S21 Ultra mampu untuk mengurus 11 permainan video serta 12 tab Google Chrome secara aktif tanpa perlu segar semula.

Kapsyen: Samsung S21 Ultra (12GB RAM) - Android Authority


Eksperimen juga mendapati OnePlus 9 Pro walaupun jumlah RAMnya besar pada 8GB, sistem operasinya sangat agresif kerana sudah sedia menutup aplikasi walaupun masih ada ruang RAM kosong.

Kapsyen: OnePlus 9 Pro (8GB RAM) - Android Authority


Dengan OnePlus 9 Pro, sebanyak 6 aplikasi permainan boleh dibuka, jauh berbeza dengan prestasi dari S21 Ultra tadi.

Seperti dijangka untuk Google Pixel 3 XL pula, disebabkan jumlah RAM lebih kecil pada 4GB, jumlah permainan yang boleh dibuka secara sekaligus pula lebih sedikit - 4 permainan sahaja.

Kapsyen: Google Pixel 3 XL (4GB RAM) - Android Authority


Secara kesimpulan, jika RAM telefon Android hanya setakat 4GB, ia kurang sesuai untuk pengguna pelbagai-kerja iaitu yang banyak membuka banyak aplikasi dalam satu-satu masa.

Melalui eksperimen tersebut, digalakkan untuk pengguna menyasarkan telefon 6GB ke atas untuk telefon bajet jika ada.

Manakala RAM yang ideal untuk kebanyakan pengguna adalah 8GB-12GB. Jumlah RAM sebegini sememangnya sudah banyak ditemui pada telefon kelas pertengahan zaman sekarang.

RAM 16GB? Terlampau gimik. Setakat ini nampak tiada gunanya. Ia lebih dari apa yang anda perlukan untuk sebuah telefon pintar.

Sumber: Android Authority

Baca juga: