Rakyat Malaysia Bakal Nikmati Rangkaian Jalur Lebar Lebih Pantas Dengan Harga Berpatutan

Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baru, Gobind Singh Deo berkata bahawa pihaknya akan berusaha untuk meningkatkan kelajuan sambungan jalur lebar kepada dua kali ganda lebih pantas dengan harga yang lebih berpatutan.

Menurut laporan Free Malaysia Today, beliau memberi kenyataan berikut semasa sidang media pertamanya selepas memulakan tugas sebagai menteri pada 22 Mei yang lalu. Beliau telah dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia oleh Perdana Menteri baru-baru ini.


Kredit : Facebook KKMM


Memetik kenyataan beliau, kerajaan komited untuk memberi kemudahan jalur lebar terbaik demi kemudahan rakyat memandangkan taraf jalur lebar yang kita miliki hari ini adalah jauh lebih rendah berbanding kemudahan teknologi yang kita miliki. Beliau turut menyatakan keinginan untuk menurunkan harga perkhidmatan Internet negara kepada 50% lebih murah daripada yang sedia ada, jika ia boleh dilakukan.

Dalam sidang media yang sama, beliau turut menyatakan komitmen kementerian berkenaan untuk mengkaji semula Akta Antiberita Tidak Benar dan kebebasan media dalam tempoh terdekat. Ia adalah bersesuaian dengan manifesto kerajaan semasa pilihan raya yang lepas.

Rakyat Malaysia sudah semestinya teruja dengan janji daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia ini serta mengharapkan ia dapat ditunaikan seberapa segera yang mungkin. Akan tetapi, diharapkan kita dapat bersabar kerana perkara ini sudah pasti akan memakan sedikit masa untuk dilaksanakan.

Sumber