Sony hari ini secara rasminya mengumumkan konsol terbaru mereka, iaitu PlayStation 5 Pro (PS5 Pro).
Konsol ini sememangnya disasarkan untuk menawarkan pengalaman grafik lebih imersif buat pemain. Ini kerana, PS5 terdahulu memang boleh memberikan kadar bingkai tinggi menerusi performance mode tetapi ia mengorbankan beberapa perkara.
Jika mahukan kadar bingkai tinggi, kualiti grafik dikurangkan sedikit. Begitu juga sebaliknya.
Oleh yang demikian, PS5 Pro dicipta untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan memfokuskan tiga aspek, unit pemproses grafik (GPU) lebih besar, advanced ray tracing dan AI-driven Upscaling.
GPU pada PS5 Pro dipertingkatkan serta besar berbanding versi standard di mana peningkatan unit pengkomputeran sebanyak 67%, memori (RAM) 28% lebih pantas dan sehingga 45% peningkatan rendering.
Selain itu, ray tracing juga dinaik taraf di mana prestasinya dikatakan dua kali ganda malah lebih baik berbanding konsol PS5.
Akhir sekali, teknologi baharu diperkenalkan dalam PS5 Pro, mirip yang dilaporkan terdahulu, iaitu PlayStation Spectral Super Resolution atau PSSR. Ini merupakan teknologi yang menaikkan resolusi atau upscale grafik sedia ada untuk memberikan paparan lebih cantik.
Dalam erti kata lain, grafik lebih tajam, cantik dan pada masa yang sama masih menawarkan kadar bingkai 60fps agar pengalaman bermain lebih lancar.
Teknologi sebegitu sebenarnya sudah ada di PC, misalnya NVIDIA DLSS dan juga AMD FSR.
Jadi, seperti yang dijangkakan, PS5 Pro sesuai untuk pengguna yang mahukan konsol yang sedikit lebih berkuasa daripada PS5 biasa.
Sekiranya anda berminat, kena tunggu dahulu kerana ia akan tersedia bermula 7 November 2024 dengan tanda harga USD699.99 (~RM3038). Sementara prapesan bakal bermula 26 September ini.
PlayStation 5 Pro dilengkapi dengan storan dalaman sebesar 2TB dan ia ditawarkan dalam bentuk tanpa cakera (disc-less). Namun, pengguna ada pilihan untuk membeli pemacu cakera boleh tanggal secara berasingan seperti mana pada PS5 ‘Slim’.
{suggest}