Seminggu lepas, Qualcomm telah sedia memperkenalkan cip generasi baharu mereka untuk telefon kelas premium iaitu Snapdragon 8 Gen 1.
Kebiasaannya, yang jadi pertama menggunakan cip terbaharu adalah jenama Xiaomi. Tetapi tidak pula pada edisi kali ini kerana Motorola membuat kejutan mencantas untuk jadi yang pertama dengan pengenalan Motorola Edge X30.
Motorola Edge X30 dan Motorola Edge X30 Special Edition
Terdapat 2 varian yang hadir iaitu Motorola X30 dan juga Motorola X30 Special Edition. Perbezaannya adalah Special Edition menggunakan modul kamera swafoto bawah skrin manakala model biasa pula menggunakan rekaan punch-hole.
Apa yang menariknya modul swafoto yang disumbat oleh Motorola adalah bersaiz 60MP yang mana agak tinggi lain macam resolusinya.
Dari segi spesifikasi, kedua-duanya didatangkan dengan paparan 6.7 inci OLED FHD+ 144Hz, 3 kamera belakang (50MP utama, 50MP sudut lebar, 2MP depth) – Aik, telefon flagship dengan 2MP kamera?
Bateri pula berkapasiti 5,000mAh berkelajuan pantas 68W sementara menjalankan Android 12.
Motorola X30 biasa dijual bermula CNY 3,199 (RM2,117.91) manakala Special Edition dengan swafoto bawah skrin bermula pada CNY 3,999 (RM2,649.14).
Harga tukaran tak nampak mahal untuk sebuah telefon andalan, mungkin ada sinar flagship killer harga bajet dengan Snapdragon 8 Gen 1 pada masa akan datang? Sama-samalah kita tunggu.
Motorola Edge S30
Sebuah lagi telefon yang diumumkan adalah Motorola Edge S30. Ia tidak menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 1, tetapi tidak juga menggunakan cip yang perlahan.
Motorola Edge S30 didatangkan dengan cip Snapdragon 888+ yang masih lagi merupakan cip terpantas sebelum Snapdragon 8 Gen 1 bersama-sama paparan 6.8 inci LCD FHD+ 144Hz.
Kamera pula sedikit berbeza dengan 108MP utama, 13MP sudut lebar dan 2MP depth; manakala swafoto pula 16MP.
Bateri berkapasiti sama masih dikekalkan 5,000mAh namun pengecasan lebih perlahan 33W sahaja.
Kena dengan tema Motorola Edge S30 sebagai adik Edge X3o, ia menerima nasib tidak baik apabila hanya menerima Android 11 sahaja.
Untuk harganya Motorola Edge S30 dijual bermula CNY 1,999 (RM1,324.22).
Ketiga-tiga model Motorola ini hanya dijual di China sahaja buat masa ini. Disebabkan telefon Motorola biasanya jarang dibawa masuk ke Malaysia, jadi harapan untuk menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 1 terbaharu mungkin masih lagi digalas oleh Xiaomi.
Sumber: Motorola
Baca juga:
- Snapdragon 8 Gen 1 Diperkenal, Cip 4nm Lagi Padu Daripada Snapdragon 888
- Ini Model Telefon Yang Pasti Guna Snapdragon 8 Gen 1
- Prestasi GPU Snapdragon 8 Gen 1 Hampir Menandingi Apple A15 Bionic