Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
AFP, AWS

Perkhidmatan Internet Tergendala Beberapa Jam Akibat Gangguan Perkhidmatan Awan Amazon

Diterbitkan Oktober 20, 2025 oleh Amsyar Latif

Beberapa perkhidmatan internet popular, termasuk platform penstriman, aplikasi pesanan dan bank, terjejas selama beberapa jam pada Isnin susulan gangguan pada rangkaian awan utama milik Amazon.

Gangguan itu menjejaskan pelbagai perkhidmatan seperti Prime Video dan Disney+, serta aplikasi seperti Perplexity AI, permainan Fortnite, Airbnb, Snapchat dan Duolingo.

Di Eropah, perkhidmatan telefon mudah alih dan aplikasi pesanan seperti Signal dan WhatsApp turut terkesan, menurut laman Downdetector yang memantau gangguan internet. Beberapa bank di United Kingdom termasuk Lloyds juga dilaporkan mengalami gangguan dan mengesahkan punca masalah berpunca daripada Amazon Web Services (AWS).

AWS mengendalikan hampir satu pertiga pasaran infrastruktur awan global, yang menjadi tunjang kepada jutaan aplikasi dan laman web di seluruh dunia. Laman penyelenggaraan AWS memaklumkan juruteranya mula membaiki masalah DNS (Domain Name System) sebaik menyedari peningkatan kadar ralat pada jam 7.11 pagi GMT.

Lebih empat jam kemudian, walaupun sesetengah perkhidmatan masih terganggu, AWS memaklumkan ia berada pada landasan menuju pemulihan penuh dan kebanyakan operasinya kembali berfungsi secara normal.

Penganalisis kewangan Michael Hewson berkata, insiden ini menunjukkan sejauh mana pergantungan global terhadap syarikat gergasi teknologi seperti Amazon, Microsoft dan Google bagi memastikan perkhidmatan dalam talian berjalan lancar.

“Secara ekonomi, ia seumpama meletakkan semua kebergantungan dalam satu bakul,” katanya.

AWS kini mengetuai pasaran pengkomputeran awan dunia, diikuti oleh Microsoft Azure dan Google Cloud. Gangguan kali ini berpunca daripada pusat infrastruktur utamanya di US-East-1, Virginia, akibat masalah protokol DNS yang digunakan untuk memadankan nama domain dengan data internet.

Walaupun masalah DNS berjaya diselesaikan sekitar jam 10.30 pagi GMT, ia menyebabkan kesesakan permintaan yang mengambil masa lama untuk dipulihkan.

Penganalisis siber Rimesh Patel menyifatkan gangguan ini sebagai peringatan tentang risiko apabila terlalu banyak operasi bergantung pada satu penyedia perkhidmatan utama. Profesor Alan Woodward dari Universiti Surrey turut menegaskan bahawa insiden ini membuktikan betapa saling bergantungnya infrastruktur digital dunia hari ini.

Sebelum ini pada Julai 2024, gangguan besar global turut berlaku apabila syarikat keselamatan siber AS, CrowdStrike, mengeluarkan kemas kini perisian yang rosak, menyebabkan jutaan peranti di seluruh dunia mengalami kegagalan sistem. – AFP

Berkaitan

  • Google, Amazon & OpenAI Kini Berlumba Guna AI Jadi ‘Personal Shopper’ Anda
  • Amazon Tutup Makmal AI Di Shanghai
  • ‘Trade-In’ Dengan Maxis, Dapat Telefon Baru Dari RM0

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Harga MacBook Neo Di Apple Education Store Naik Lagi - Kini Bermula RM2,799
  • Maxis, U Mobile Dilaporkan Pertimbang Semula Rancangan Penggabungan
  • Google Mudahkan Pemasangan Aplikasi Dari Kedai Pihak Ketiga Di Android, Malaysia Antara Negara Terawal Mulai 1 Disember
  • Syarikat Teknologi Pengiklanan Israel Didakwa Intip Pengguna Starlink
  • Pemilik Dakwa ChatGPT Bantu Temui Semula Fon Telinga Yang Hilang Sepantas 5 Minit
  • ASUS Terus Kuasai Pasaran Monitor OLED Global - Omdia
  • Kastam Gagalkan Cubaan Seludup Cip AI Bernilai RM49.5 Juta Di KLIA
  • 18 Tahun Xperia: Model Pertamanya Guna Windows Mobile, Bukan Android
©2026 WISER.MY