Berikutan dengan zaman teknologi yang semakin maju berkembang sekarang, bukan sahaja gaya kehidupan tapi kerja-kerja berkaitan dengan penggunaan peranti komputer juga telah menjadi lebih mudah.
Salah satu cara penggunaan komputer yang dimaksudkan adalah kaedah penyimpanan data maklumat yang dipertingkatkan supaya ia boleh disimpan secara maya.
Berbeza pula pada tahun 2020 dan sebelumnya, pekerja pejabat mahupun pelajar hanya menggunakan perkakasan storan komputer seperti cakera keras dan pemacu jari untuk menyimpan data serta memindah data dari satu PC ke PC yang lain.
Hal ini kerana platform storan awan ketika itu masih lagi belum popular dan tidak diwara-warakan secara terbuka sehinggalah Amazon melancarkan Amazon Web Services (AWS) pada 2006.
Namun, zaman sekarang, penggunaan storan awan sudah menjadi satu perkara biasa sehingga kita mungkin terlupa untuk menyimpan fail atau gambar di storan luaran (HDD, SSD, Pendrive).
Sebenarnya, ada banyak pilihan storan awan yang ditawarkan di luar sana. Bagaimanapun, di sini kami menyenaraikan yang paling popular dan mudah digunakan untuk anda.
Google One
Seperti yang kita semua cakna, setiap pengguna internet pasti akan mempunyai dan mendaftar kepada akaun Google, minimum kapasiti akaun adalah satu akaun untuk satu pengguna.
Sehubungan dengan itu, setiap akaun juga akan dibekalkan dengan kapasiti storan awan yang terhad kepada 15GB sahaja.
Kapasiti itu pula merangkumi tiga tempat penyimpanan kandungan yang terdiri daripada Google Drive, Google Photo dan Gmail.
Oleh itu, pengguna yang memerlukan kapasiti lebih banyak seperti pekerja pejabat, guru ataupun pensyarah mahupun pelajar pasti akan mencari cara yang lebih mudah selain daripada mendaftar akaun Google yang baharu demi storan berkapasiti 15GB.
Di sini, Google telah menyediakan pelan langganan, Google One yang boleh dilanggan secara bulanan dan tahunan serta boleh dibatalkan pada bila-bila masa sahaja.
Kalau dahulu, Google One hadir dengan pelan asas serendah RM8.49/bulan atau RM84.99/tahun.
Namun kini, setelah hadirnya ciri kecerdasan buatan daripada Google sendiri, Gemini, langganan Google One telah mencapai harga setinggi RM97.99/bulan dan membekalkan kapasiti AI Premium 2TB bersama penambahan ciri Gemini Advanced.
Ciri Gemini itu pula akan tersedia sebagai pembantu anda di Gmail, Google Docs dan lain-lain perkhidmatan Google.
Bagi anda yang belum pernah melanggan Google One, harga potongan yang berpatutan disediakan untuk langganan selama 3 bulan (Basic dan Premium) dan 2 bulan (AI Premium).
Sama juga untuk langganan secara tahunan tapi pakej AI Premium tidak tersedia untuk pembayaran secara tahunan.
Microsoft OneDrive
Berbeza pula untuk storan awan Microsoft OneDrive, kita tahu yang platform ini kebanyakkannya digunakan dalam sektor pendidikan seperti guru, pensyarah mahupun pelajar.
Tidak kira peringkat sekolah ataupun universiti, pakej percuma Microsoft 365 hanya menawarkan kapasiti storan awan sebesar 5GB dan versi percuma untuk Word, Excel dan PowerPoint.
Walaupun begitu, anda tetap boleh melanggan platform ini dengan pakej permulaan tahunan, Basic yang berharga RM90/tahun atau RM9/bulan.
Melalui pakej ini, anda akan dibekalkan dengan kapasiti storan awan sebanyak 100GB, akses untuk semua platform penggunaan dan ciri keselamatan terbaru yang terhad untuk pakej Basic iaitu perlindungan perisian tebusan OneDrive.
Untuk pengetahuan anda, pakej Basic dan Personal hanya terhad untuk kegunaan satu individu sahaja manakala pakej Family boleh menampung sehingga enam individu.
Apple iCloud+
Tidak lupa kepada Apple yang juga menawarkan platform simpanan di storan awan iaitu iCloud secara percuma dengan kapasiti sama seperti Microsoft OneDrive, sebesar 5GB.
Seperti biasa, jika anda mahukan kapasiti yang lebih besar, anda perlu melanggan pakej iCloud+ yang bermula dari harga serendah RM3.90/bulan dengan kapasiti storan 50GB sehinggalah yang paling tinggi, RM269.90/bulan iaitu 12TB storan.
Kesemua pakej iCloud+ boleh memberikan akses terhad atau kongsi storan kepada lima orang individu tidak termasuk individu yang melanggan. Menjadikan jumlah individu melanggan adalah enam orang.
Untuk keselamatan di tempat kediaman pula, langganan iCloud+ juga mampu menyimpan rakaman daripada kamera keselamatan tetapi terhad kepada 1 kamera untuk langganan 50GB dan 5 kamera untuk langganan 200GB.
Pakej langganan yang selebihnya pula membenarkan akses kamera pada jumlah yang tidak terhad.
Jika anda mahukan penjimatan, Apple turut menawarkan langganan Apple One yang mana setiapnya merangkumi servis iCloud+, tv+, Music, Arcade dan juga Fitness+ (Apple One Premier).
Untuk harga, pelan individu adalah RM34.9/bulan dan tidak boleh dikongsi. Sementara pelan Family (RM44.9/bulan) dan Premier (RM84.9/bulan). Dua pelan ini boleh dikongsi sehingga lima orang (tak termasuk pemilik atau ketua).
{suggest}