Belum selesai dengan gelombang Delta, Omicron pula sudah melanda. Semalam Malaysia mencatatkan sebanyak 5,720 kes COVID-19 harian namun di negara seperti Amerika Syarikat, mereka mencatatkan sehingga 1 juta kes harian dua minggu lalu.
Sekumpulan penyelidik dari University of California, Amerika Syarikat telah membangunkan sebuah sistem yang dinamakan smaRT-LAMP (smartphone-based real-time loop-mediated isothermal amplification) untuk mengesan seseorang itu dijangkiti COVID-19 atau tidak.
Dengan teknik ini, antara alatan utama yang diperlukan ialah telefon pintar, kadbod dan lampu LED. Penyelidik berkata penggunaan telefon pintar sesuai kerana ia mudah didapati dengan hampir separuh daripada penduduk dunia hari ini memilikinya.
Mereka mencuba teknik ini dengan melakukannya terhadap 50 orang di mana 20 daripada mereka disahkan positif COVID-19 dan 30 selebihnya negatif. Kajian mereka mendapati keputusan daripada smART-LAMP 100% tepat, sama dengan keputusan PCR yang dijalankan pada 50 orang tersebut.
Teknik smART-LAMP ini boleh mengesan RNA daripada varian Alpha, Gamma, Delta, Epsilon dan dijangka turut berkemampuan mengesan Omicron walaupun belum dibuktikan.
Untuk permulaan, keseluruhan set ini memakan kos sekitar RM400 dan sekitar RM30 untuk setiap kali ujian dilakukan. Untuk jangka masa panjang, ia lebih menjimatkan berbanding kos ujian sedia ada hari ini.
Kaedahnya mudah, air liur individu akan dicampurkan dengan cecair yang akan menguatkan RNA virus. Ia kemudian akan diletakkan di dalam kotak kadbod dengan lampu LED dan telefon di atas. Dengan aplikasi khas, telefon akan mengenal pasti dan menganalisis warna air liur tadi.
Aplikasi dan teknologi ini disediakan secara terbuka dan percuma dengan tujuan untuk mengurangkan jurang antara negara yang berkemampuan dan tidak.
Namun, buat waktu ini kumpulan penyelidik ini tidak bertujuan untuk menjadikannya sesuai dilakukan oleh individu di rumah kerana tujuan yang lebih besar adalah untuk ia dimanfaatkan oleh perkhidmatan kesihatan terutamanya di negara yang mengalami kekangan kewangan dan teknologi.
“Untuk fasa seterusnya, kita akan bangunkan ujian yang memakan kos rendah dan sesuai dilakukan di rumah,” ujar Michael J Mahan selaku antara penyelidik yang terlibat.
Sumber: COSMOS
Baca juga: