Pendapat Akhir vivo Y76 5G - Resepi Sama, Umpan Berbeza

Ini merupakan artikel keempat dan juga terakhir untuk vivo Y76 5G. Dari artikel reaksi awal sehinggalah kepada prestasi kamera, vivo Y76 5G menghimpunkan beberapa kelebihan dan kekurangan jika membeli telefon ini.

Baca sebelum ini:












Demikian itu, ini adalah beberapa point penting utama yang perlu anda tahu jika ada memasang niat mahu melabur membeli vivo Y76 5G ini.

Mobile Legends Hanya Setakat Skin Percuma Dan Imej Hiasan Pada Kotak Luar


Dalam artikel reaksi awal saya, saya sedikit kecewa melihatkan sebenarnya telefon yang dikatakan kolaborasi dengan Mobile Legends ini boleh dikatakan seperti tidak kesampaian. Pertama sekali vivo Y76 5G ini bukanlah telefon gaming. Ini mungkin perkara penting disebabkan saya tak nafikan boleh jadi ada ramai yang nak membeli vivo Y76 5G hanya disebabkan ada kolaborasi Mobile Legends.



Dengar sini, pada vivo Y76 5G ini, unsur Mobile Legends hanya ada pada 2 benda iaitu sebagai skin percuma dalam permainan Mobile Legends dan juga sebagai imej hiasan pada kotak luar. Jika mengharapkan ada tema Mobile Legends seperti sebuah telefon edisi khas, nahhh. vivo Y76 5G bukan telefon itu.

vivo Y76 5G Bukan Telefon Gaming


Saya rasa untuk memasarkan sebuah telefon gaming, telefon itu perlu ada perkakas yang sesuai seperti cip yang berkuasa. Dalam dunia vivo yang kita kenal, kekuatan cip bukan menjadi keutamaan. Bukanlah nak cakap vivo Y76 5G yang datang dengan cip MediaTek Dimensity 700 ini ada lag atau sengguk ketika menggunakannya. Tetapi ia lebih kepada konsep 'ironik jika telefon itu dipasarkan dengan nama Mobile Legends, tetapi cip hanya biasa-biasa sahaja.



Jika anda mahu baca dengan lebih lanjut mengenai prestasi vivo Y76 5G, saya ada artikel khas untuk anda. Pendek kata, jika anda expect beli vivo Y76 5G untuk kekuatan gamingnya, mungkin anda akan kecewa.

Kamera 50MP Kekuatan Utama, Tapi Masih Tetap Nak Ada Dua 2MP Tak 'Berguna'


Jika anda mencari telefon dengan kamera 50MP dalam lingkungan harga 'mampu milik', kebanyakan masanya kualitinya tidak mencerminkan spesifikasinya. Untuk vivo Y76 5G, saya mendapati kamera 50MP utamanya agak memuaskan. Pujian ini saya berikan dari segi perincian kerana kadang-kadang kita boleh jumpa kamera 50MP tapi kualiti macam 8MP sahaja.



Namun, kualiti 50MP vivo Y76 5G ini lebih kepada pencahayaan pada waktu siang yang mencukupi. Jika ditala pada pencahayaan gelap, atau HDR ekstrem, kamera ini akan menunjukkan kelemahan utamanya. Perkara ni sememangnya sudah selalu dijumpai pada kebanyakan telefon mampu milik, semasa siang je elok, bagi situasi ekstrem sikit, mula la gelabah.

Pengecasan 44W, Terima Kasih vivo Kerana Tidak Kedekut


vivo adalah merupakan antara syarikat yang menjadi peneraju pengecasan pantas. Sehubungan dengan itu, saya memuji vivo kerana tidak kedekut untuk meletakkan sistem kelajuan pengecasan pada vivo Y76 5G ini sama laju dengan model andalan vivo X70 mereka iaitu 44W.

Memang ada pengecasan lebih pantas seperti realme yang ada 65W pada kelas pertengahan mereka dengan harga sama. Namun kredit perlu diberikan kepada vivo kerana jenama ini kebiasannya hanya memfokuskan kepada ciri ekstra seperti fungsi kamera dan bukannya perkakas berkuasa.

Rekaan Cantik, Tetapi Binaan Mungkin Boleh Diperbaiki


Saya memang tak tipu, rekaan pada telefon vivo memang saya gemar. vivo memang suka melebihkan aspek rekaan pada telefon mereka. Dengan vivo Y76 5G, rupa parasnya tidak dinafikan memberikan ketenangan jiwa yang kadang-kadang kita tak jumpa jika memandang telefon lain.



Namun, rekaan satu hal, binaan hal yang lain pulak. Penggunaan plastik tiada masalah, kelas pertengahan, normallah tu. Cuma mungkin vivo boleh memperbaiki isu lendut panel belakang. Pengalaman memegangnya kurang memuaskan seperti memegang telefon yang murah kerana panel belakangnya nipis.

Sebuah Lagi Telefon vivo Dengan Resepi Sama


Apa ciri-ciri yang membuatkan anda ingat jenama vivo?

Fungsi kamera? Spesifikasi cukup makan? Rekaan Menawan?

Kesemua di atas adalah apa yang menjadikan vivo, ...vivo. Untuk harga RM1,299, vivo Y76 5G merupakan satu lagi resepi kelas pertengahan yang sama diwariskan secara tradisi turun-temurun sejak sekian lama. Cuma agak keliru dengan penjenamaan Mobile Legends kerana bagi saya, ia seperti cubaan memancing peminat Mobile Legends untuk memiliki telefon ini. Padahal tiada unsur Mobile Legend yang menarik pun untuk dibincangkan pun.

Baca lagi:

 

Berkaitan