Reaksi Awal vivo Y76G - Kelas Pertengahan vivo Dengan 50MP Dan Pengecasan 44W

Hari ini vivo baru sahaja melancarkan telefon kelas pertengahan yang terbaharu mereka iaitu vivo Y76 5G. Kali ini vivo mempertaruhkan kamera utama 50MP, pengecasan pantas 44W, dan yang paling utama adalah kolaborasi dengan Mobile Legends.

Buka Kotak


Melihat di luar kotak, tiada imej telefon yang kelihatan sebaliknya gambar jejaka pahlawan Gusion dan rakannya Guinevere. Untuk pengetahuan, kolaborasi yang dimaksudkan bukannya telefon pintar edisi khas Mobile Legends sebaliknya hanyalah 'skin' yang boleh ditebus jika membeli vivo Y76 5G.



Seusai membuka kotak, nampaknya unsur Mobile Legend hanya terhenti pada bahagian kotak luar. Dalam kotak tidak kelihatan langsung elemen Mobile Legends. Aik, takkan kat luar je?

Disamping telefon vivo Y76 5G itu sendiri, vivo turut menyertakan sarung pelindung silikon lembut, siap dengan fon telinga berbicukan 3.5mm.



Apa yang menarik, vivo Y76 5G didatangkan dengan pengecasan pantas 44W FlashCharge. Ini bermakna ia lebih pantas dari purata pengecas lain yang bekelajuan 30W.


Rekaan


Melihat kepada telefon, vivo Y76 5G mempunyai rekaan panel yang agak unik dan menarik. Difahamkan terdapat 2 pilihan warna  Cosmic Aurora dan Midnight Space. Model di tangan kami berwarna Midnight Space yang mempunyai tona warna kelabu dengan gradien. Ia memberikan satu rupa yang kelihatan sangat ke'vivo'an namun pada masa yang sama merasa sedikit kecewa dengan kualiti panel belakang yang melendut dan boleh ditekan.



Panel belakang vivo Y76 5G dibina dari plastik namun ia kurang solid dan terasa kosong serta nipis. Walaupun panel belakangnya kelihatan seperti tekstur menggerutu, ia sebenarnya licin sahaja. Keseluruhan, pujian boleh diberikan untuk rupa parasnya tetapi sedikit sedih dengan pengalaman genggamannya.



Bahagian modul kamera memberikan rupa seakan premium mengikuti rupa abang-abangnya iaitu vivo X70. Saya amat menyukai rupa modul kamera yang diletakkan oleh vivo ini kerana ia kelihatan kemas dan nampak berani.

Terdapat pengimbas cap jari bertindak sekali dengan butang kuasa pada bahagian sisi kanan. Manakala bahagian bawah masih lagi menyertakan bicu 3.5mm, gril pembesar suara, dan juga port USB-C.


Spesifikasi


vivo Y65 5G dikuasakan oleh MediaTek Dimensity 700. Sebagai perbandingan, cip ini sudah lali digunakan oleh kelas pertengahan seperti realme 8 5G, Poco M3 Pro 5G, OPPO A53s 5G, realme Narzo 30 5G, Xiaomi Redmi Note 10 5G, dan banyak lagi.

Bersama-samanya, ia dipadankan dengan 8GB berserta 128GB storan dalaman berasaskan UFS 2.2.

Skrin vivo Y76 5G berukuran 6.58 inci beresolusi Full HD+ IPS LCD namun masih mengekalkan panel 60Hz. Untuk kelas pertengahan, panelnya boleh dikatakan biasa-biasa sahaja dan tenggelam dalam lambakan model dalam kelas sama yang menawarkan panel OLED dan sekurang-kurangnya 90Hz.



Terdapat 3 unit kamera pada bahagian belakang iaitu 50MP utama, 2MP makro, dan 2MP depth. 50MP utamanya adalah merupakan antara tarikan utama vivo Y76 5G jadi ia sudah semestinya akan diberikan perhatian utama sepanjang kami menguji telefon ini.



Kamera swafoto dimuatkan pada takuk skrin atas beresolusi 16MP. Agak pelik melihat skrin bertakuk pada tahun 2021 memandangkan boleh kata kesemua model sudah berubah kepada skrin berlubang.



Bateri sebanyak 4,100mAh dimuatkan pada vivo V76 5G sementara pengecasan pula vivo agak bermurah hati untuk memberikannya berkelajuan 44W.

Prestasi


vivo Y76 5G menjalankan Funtouch OS 12 berasaskan Android 11. Dengan cip MediaTek Dimensity 700, prestasi adalah baik dan tiada lewah atau sengguk yang ditunjukkan. Untuk prestasi menyeluruh termasuk bermain permainan video, kami akan mengujinya dengan lebih lanjut.

Sementara itu, ini adalah hasil ujian ukur aras prestasi dari beberapa perisian popular.

  • Geekbench 5




  • Antutu Benchmark




  • 3DMark




  • Androbench



Rumusan


Pada mulanya, saya menyangka vivo Y76 5G merupakan telefon edisi khas Mobile Legends. Namun setelah melihat isi dalam, tiada unsur-unsur Mobile Legends yang kelihatan. Apa ynag tepat adalah Mobile Legends hanya berada pada kotak luar dan juga sebagai tebusan 'skin' setelah membeli telefon ini.

Sebagai tarikan utama, vivo Y76 5G mempunyai kekuatan dari segi penawaran kamera 50MP dan pengecasan pantas 44W. Akan tetapi, penawaran ini mungkin jadi seperti resepi-resepi telefon kelas vivo lain yang kurang kompetitif berbanding pesaing lain.

vivo Y76 5G boleh mula dipra-tempah bermula hari ini sehingga 26 November dengan harga RM1,299. Jika berminat anda boleh ke pautan ini. Sebagai hadiah percuma sempena pra-tempahan, anda akan menerima hadiah bernilai RM646 termasuk skin eksklusif Mobile Legends.