Pembesar Suara Pintar Facebook Mungkin Dilancarkan Oktober Ini

Syarikat yang kini sedang diserang kontroversi, Facebook Inc dijangka akan melancarkan peranti pembesar suara pintar mereka pada suku terakhir tahun ini, menurut Digitimes. Pada awalnya, peranti tersebut mahu diperkenalkan kepada umu pada Persidangan Pembangun Facebook (F8) yang diadakan pada awal bulan Mei, namun ia terpaksa ditangguhkan kerana pemiliknya, Mark Zuckerberg dipanggil untuk memberi keterangan berkenaan skandal privasi yang melibatkan Facebook.



Pembesar suara yang menggunakan fungsi AI ini dikatakan akan menjadi pesaing bagi modelĀ Apple HomePod, Amazon Echo serta Google Home. Pada laporan awal juga daripada Digitimes, Facebook merancang untuk memperkenalkan dua model pembesar suara pintar pada bulan Mei, namun terpaksa ditangguhkan ke bulan Julai sebelum laporan terbaru mengatakan mereka akan lancarkan peranti tersebut pada seawal-awalnya bulan Oktober tahun ini.

Dua pembesar suara itu masing-masing dinamakan sebagai Aloha dan Fiona di mana kedua-duanya akan dilengkapi dengan skrin paparan sentuh 15 inci dari LG. Aloha dijangka akan mempunyai harga yang sedikit tinggi berbanding Fiona kerana pemiliknya akan memiliki kebolehan untuk mengubahsuai paparan Aloha berbanding Fiona.



Dalam pada itu, langkah yang diambil oleh Facebook ini dinilai agak berisiko oleh pemerhati industri kerana produk bakal pesaing mereka, Apple HomePod baru-baru ini mengalami penurunan permintaan yang mendadak. Pengedar HomePod terpaksa mengurangkan permintaan mereka daripada 500,000 unit sebulan ke 200,000 unit sebulan sahaja berikutan prestasi jualan yang tidak memberangsangkan.

Sumber