Menurut laporan terbaru Canalys, pasaran peranti boleh pakai seperti smart band, jam tangan pintar asas, dan jam tangan pintar canggih mencatatkan peningkatan 3% pada Q3 2024 berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Sebanyak 52.9 juta unit telah dihantar pada suku ini, dengan smart band menunjukkan pertumbuhan paling ketara.

Setelah mengalami penurunan sejak Q3 2020, smart band kini kembali meningkat dengan 7% pertumbuhan, menyumbang kepada 10.4 juta unit yang dihantar. Permintaan tinggi di pasaran membangun seperti Amerika Latin dan EMEA mendorong pertumbuhan ini, dengan model seperti Xiaomi Smart Band 9 dan Samsung Galaxy Fit3 menjadi pilihan utama.
Xiaomi dan Apple kini bersaing rapat, masing-masing menghantar 8.5 juta unit (16.1% penguasaan pasaran). Xiaomi turut menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 37.3% berbanding tahun lalu, disokong oleh kejayaan model seperti Redmi Watch 5 dan Xiaomi Watch S, yang mencatat pertumbuhan 70% tahun ke tahun.
Walaupun pasaran membangun berkembang pesat, pasaran seperti Amerika Utara menghadapi cabaran dengan penurunan permintaan. Apple dan Fitbit melihat penyusutan minat terhadap model lama, dengan pengguna tidak teruja untuk menaik taraf kerana kekurangan ciri baharu yang menarik.

Walaupun Apple dan Xiaomi menghantar jumlah unit yang sama, Apple meraih 40% daripada nilai pasaran ($10.9 bilion), manakala Xiaomi hanya menyumbang 4%. Xiaomi menumpukan kepada peranti mampu milik, menyebabkan penurunan harga jualan purata (ASP) sebanyak 9%, menjadikannya terendah sejak Q1 2021.
Menurut Jack Leathem, penyelidik di Canalys, beliau menyarankan pengeluar untuk terus melabur dalam teknologi seperti pembelajaran mesin, seni bina pemproses dua dan penjejakan tidur canggih bagi memastikan daya saing dan meningkatkan kesetiaan pengguna.
{suggest}
Sumber: Canalys
