Pas Perjalanan Tanpa Had My50 Ganti My30, Mula Januari 2022

RapidKL melalui media sosial mereka hari ini memaklumkan bahawa pas perjalanan tanpa had, My50 boleh mula digunakan bermula 1 Januari 2022. Pas My50 ini menggantikan pas My30 yang diperkenal tahun lepas.

Terhad untuk warganegara, pas perjalanan berharga RM50 sebulan ini menawarkan perjalanan tanpa had untuk semua perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana – LRT, MRT, BRT, Monorel dan bas Rapid KL serta bas perantara Jom Naik MRT.



Dalam pada itu, My50 turut disediakan di Pulau Pinang di bawah label Pas Mutiara My50. Pun begitu, kemudahan pas perjalanan ini belum tersedia untuk Rapid Kuantan.

Walaupun pas perjalanan My30 berakhir pada 31 Disember ini, Menteri Pengangkutan, Dr. Wee Ka Siong berkata mereka yang membeli pas perjalanan berkenaan dan Pas Mutiara pada hari berkenaan boleh terus menikmati kemudahan itu sehingga 30 Januari 2022 sebelum terpaksa beralih kepada pas My50.

Untuk pembelian di Lembah Klang pula, orang ramai boleh melanggan pas perjalanan My50 ini pejabat-pejabat khidmat pelanggan Rapid KL di semua stesen LRT, MRT, Monorel, BRT dan hab bas RapidKL terpilih seperti Pasar Seni, Chow Kit, KLCC, Sri Nilam, Puchong Utama, Pearl Point, Sunway Pyramid, Greenwood dan Seksyen 2 Shah Alam.

Lokasi-lokasi pembelian di Pulau Pinang pula adalah di kiosk terpilih Rapid Penang seperti di KOMTAR, Weld Quay (Terminal B), Penang Sentral, Bukit Jambul, Ibu Pejabat Rapid Penang (Lorong Kulit), Kompleks Dato’ Kailan (Kepala Batas), Balik Pulau dan Bukit Mertajam.

Baca juga: