Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

nubia Air, Ini Benda Best Dengan Tak Best

Posted on November 21, 2025

nubia Air, alternatif mampu milik kepada iPhone Air. Tapi sebelum membeli, apa yang anda patut tahu dan pertimbangkan terlebih dahulu? Mari kita lihat satu per satu ciri yang ada pada nubia Air ini.

Kita boleh lihat, rekaan nubia Air ini sememangnya diinspirasikan dari iPhone Air. Ini membuatkannya tampak anggun dan kemas. Walaupun ketebalannya tidak senipis iPhone Air, 5.9mm ini cukup untuk menjadikannya ringan.

Namun, panel belakang yang menggunakan polycarbonate plastic memberikan rasa kurang kukuh kepada pengguna. Bahan yang digunakan membuatkan pengguna rasa seperti sedang menggunakan telefon murah tahap permulaan.

Telefon pintar ini juga hadir dengan skrin 1.5K paparan AMOLED, serta kadar segar semula 120Hz. Skrin ini mampu memaparkan warna yang cukup terang dan viewing angle yang cukup memuaskan untuk para pengguna. Sistem operasi MyOS yang digunakan pun cukup lancar dan ringan. Ini antara ciri yang mengagumkan dalam telefon ini.

nubia Air ini ditampilkan dengan tahap perlindungan IP68, IP69 dan IP69K. Ini bermakna, ia bukan sahaja tahan habuk dan air malah, ia juga mampu bertahan dalam tekanan air bersuhu tinggi. Ciri ini biasanya kita akan lihat pada flagship premium dengan harga yang jauh lebih tinggi.

Walaupun telefon ini katanya direka dengan kamera AI Triple 15MP, kualiti hasil gambar yang ditangkap lebih mengecewakan dari yang dijangka.

Warna yang dipaparkan kurang menarik dan kurang hidup, serta hingar kelihatan terlalu jelas pada gambar.

Sebelum membeli, pastikan anda sedar bahawa telefon ini bukanlah telefon yang fokus kepada prestasi. Cip yang menguasakan telefon ini adalah cip daripada Unisoc. Prestasi telefon memang lancar untuk penggunaan biasa, namun akan mula lambat apabila anda jalankan kerja-kerja yang berat seperti bermain permainan video.

Untuk bateri pula, dihadirkan dengan bateri 5000mAh yang boleh tahan penggunaan seharian. Tapi untuk pengecasan yang berkelajuan hanya 33W, ia boleh dikatakan biasa sahaja.

Seterusnya, pembesar suara yang digunakan untuk nubia Air ini memang menghasilkan bunyi yang kuat dan jelas tetapi boleh dikatakan bukanlah yang terbaik.

Kesimpulannya, telefon ini sememangnya lain daripada yang lain, tapi tidak disarankan kepada para gamer dan peminat kamera. Namun, telefon ini antara yang sesuai untuk anda pertimbangkan jika anda sedang mencari telefon pintar yang selesa untuk penggunaan harian dengan ketahanan yang baik.

Asalkan anda tidak kisah tentang kualitinya yang terasa murah, serta kamera dan prestasi yang sederhana.

Anda boleh dapatkannya dengan harga hanya RM1099.

Untuk ulasan penuh anda boleh tonton video ini.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress