Myanmar Berpotensi Mengikuti China, Menjadi Penyebar Virus Baru

World Wildlife Fund (WWF) melaporkan kegiatan pembelian hidupan liar atas talian secara haram semakin meningkat di Myanmar yang menjadi ancaman kepada kesihatan awam dan spesies haiwan terancam.

Bilangan urus niaga atas talian ini meningkat 74 peratus berbanding setahun sebelumnya kepada 11,046, hampir kesemuanya melibatkan penjualan haiwan hidup.

Dilaporkan dari sejumlah 173 spesies yang didagangkan, sebanyak 54 spesies diancam kepupusan global.

Penyelidik dari WWF dapat mengenal pasti 639 akaun Facebook milik peniaga hidupan liar.

Kapsyen: Sumber: WWF


Didapati akaun kumpulan dagangan dalam talian yang terbesar di Myanmar mempunyai lebih 19,000 ahli dan berpuluh-puluh hantaran setiap minggu.

Menurut WWF, haiwan dan bahagian haiwan yang dijual beli terdiri daripada gajah, beruang dan ungka, tenggiling yang hampir pupus dan kura-kura gergasi Asia.

Haiwan mamalia yang paling terkenal dalam kegiatan ini pula melibatkan pelbagai spesies lotong dan monyet, yang sering dibeli untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

Dikatakan kebanyakan haiwan yang diiklankan untuk dijual telah diambil dari alam liar.

Haiwan-haiwan ini juga termasuk musang dan tenggiling yang telah dikenal pasti sebagai berpotensi dalam penyebaran penyakit seperti SARS dan Covid-19.

Shaun Martin, yang mengetuai projek jenayah siber serantau Asia-Pasifik WWF, berkata pemantauan perdagangan hidupan liar dalam talian yang dilakukan mendapati spesis yang berbeza kadangkala disimpan dalam sangkar yang sama.

Perdagangan spesies liar yang tidak terkawal dan interaksi yang terhasil antara spesies liar dan manusia boleh meningkatkan risiko mutasi penyakit baharu seperti Covid-19 yang boleh merebak tanpa dikesan, menjadi penyakit yang lebih berbahaya.

Seperti yang semua tahu, Covid-19 adalah salah satu daripada banyak penyakit yang dipercayai berpunca daripada haiwan.

Manakala pembunuhan dan penjualan apa yang dikenali sebagai bushmeat di Afrika dianggap sebagai punca penyakit Ebola.

Sumber: WWF

Baca juga:

Berkaitan