Seperti diketahui, Microsoft melancarkan barisan Surface baharu hari ini dan daripada kesemuanya, Microsoft Surface Laptop Studio adalah antara yang paling menarik.
Microsoft mengatakan ini adalah ahli Surface yang paling berkuasa dan dikira sebagai keluarga baharu kerana rekaannya tampil berbeza berbanding komputer riba di pasaran.
Jika mengingat kembali, Surface Book 3 merupakan sebuah komputer riba yang boleh dicabut skrinnya dan dijadikan sebagai tablet. Namun, Surface Laptop Studio diberi nafas baharu pada rupa bentuknya.
Menerusinya, pengguna boleh menggunakannya sebagai komputer riba biasa atau melipatkannya ke hadapan dan guna sebagai tablet – Microsoft menggelarnya Laptop mode, Stage mode dan Studio mode.
Dari segi spesifikasi, ia dikuasakan cip Intel Core i5-11300H bersama grafik Iris Xe atau Intel Core i7-11370H dan padanan NVIDIA GeForce RTX 3050 Ti laptop GPU 4GB.
Konfigurasinya pula 16GB atau 32GB RAM dan storan dalaman sehingga 2TB SSD. Manakala skrinnya tampil dengan paparan 14.4 inci beresolusi 2400×1600 120Hz, Dolby Vision dan sokongan 10 titik berbilang sentuhan serta Pen yang boleh dicas secara magnetik pada bahagian hadapan (dijual berasingan).
Pun begitu, sambungan agak terhad yang mana mempunyai bicu audio 3.5mm, Surface Connect dan 2x USB 4.0 dengan Thunderbolt 4. Jika mahu bermainĀ game, ia hadir dengan WiFi 6, Bluetooth 5.1, Xbox Wireless dan bateri sebesar 58WHr.
Seperti biasa, Surface Laptop Studio yang dijual dengan harga bermula USD1599.99 (~RM6710) ini dijual untuk beberapa pasaran tertentu sahaja buat masa ini.
Sumber: microsoft
Baca juga:
- Microsoft Surface Duo 2 Dilancarkan – Skrin Lebih Besar, 90Hz Dan Snapdragon 888
- Microsoft Surface Pro 8 Diperkenal – 120Hz Dan Sokongan Thunderbolt 4
- Kilang Terbesar Di Dunia Menyedut Karbon Dioksida Dan Menukarkannya Kepada Batu Kini Beroperasi