Microsoft Outlook mengalami gangguan global sejak awal pagi tadi, menyebabkan pengguna menghadapi masalah untuk mengakses e-mel. Ia turut menjejaskan perkhidmatan lain termasuk Microsoft Teams dan pembantu AI Copilot.
Pada awalnya, Microsoft memaklumkan bahawa pihaknya sedang menyiasat laporan gangguan yang melibatkan pengguna di Amerika. Namun, syarikat itu kemudian mengesahkan isu berkenaan berkemungkinan menjejaskan sambungan perkhidmatan Microsoft 365 di semua rantau.
While we're working to mitigate impact, we've confirmed the issue may affect Microsoft 365 service connectivity for users in any region, more information will be provided in the Microsoft 365 admin center under EX1550543.
— Microsoft 365 Status (@MSFT365Status) November 12, 2026
Microsoft mengaitkan masalah tersebut dengan “beban tinggi” pada sebahagian infrastrukturnya di beberapa rantau, yang menyebabkan pengguna mengalami ralat sambungan ketika cuba mengakses perkhidmatan berkenaan.
“Kami telah menghentikan sementara semua pelaksanaan, mengalihkan lebih banyak trafik daripada infrastruktur yang terjejas dan memulakan semula pelayan yang terjejas supaya dapat beroperasi semula,” menurut Microsoft.
Walaupun usaha pemulihan sedang dijalankan, perkhidmatan tersebut belum pulih sepenuhnya ketika kemas kini terakhir dibuat. Microsoft memaklumkan pihaknya mula melihat pemulihan terhad selepas mengalihkan trafik pengguna daripada pelayan yang terjejas.
Menurut Microsoft, pengguna mungkin dapat mengakses semula perkhidmatan secara berperingkat apabila kapasiti dipulihkan dan aplikasi yang digunakan berjaya menyambung semula. -AFP
