Microsoft pada Isnin menyatakan bahawa ia akan melancarkan cip kecerdasan buatan (AI) buatan sendiri, Maia, secara besar-besaran bermula tahun 2027.
Langkah ini menjadikannya perkakasan utama untuk menjalankan fungsi AI di seluruh produknya, satu tindakan yang mampu mengurangkan kebergantungannya kepada Nvidia.
Cip seperti Maia merupakan teknologi di dalam pusat data gergasi yang memacu lonjakan AI, dan Microsoft merancang untuk mengerahkan cip yang mencukupi sehingga menggunakan tenaga elektrik beberapa gigawatt, kira-kira bersamaan dengan output beberapa loji kuasa nuklear gergasi.
Nvidia sebelum ini hampir menguasai sepenuhnya pasaran cip yang digunakan untuk melatih model AI, namun syarikat gergasi teknologi dan pembuat cip pesaing kini berlumba-lumba mengukuhkan kedudukan dalam segmen inference, iaitu proses menjalankan model berkenaan untuk menjawab soalan serta melaksanakan tugasan setelah ia beroperasi.
Pasaran tersebut berkembang pesat tatkala syarikat-syarikat memperkenalkan pembantu AI dan ejen berautonomi yang mampu menjalankan tugasan berperingkat secara sendiri, dengan Nvidia, AMD, Amazon serta Google masing-masing melancarkan produk baharu dalam ruang ini.
“Hari ini menandakan fasa baharu bagi infrastruktur AI Microsoft,” tulis Naib Presiden Eksekutif Microsoft, Scott Guthrie, dalam satu hantaran blog yang mengumumkan rancangan tersebut.
Syarikat itu mengesahkan bahawa cip Maia 200 kini sudah pun beroperasi, termasuk untuk pembantu Microsoft 365 Copilot, manakala penggantinya yang lebih berkuasa, Maia 300, bakal dilancarkan pada tahun 2027.
Maia 200 menjalankan model daripada OpenAI, model MAI dalaman Microsoft sendiri, serta model sumber terbuka terkemuka.
Cip tersebut kini ditempatkan di Amerika Syarikat, Eropah dan Australia, serta menawarkan output per watt sehingga 1.7 kali ganda lebih tinggi berbanding sistem berasaskan GPU terkemuka bagi ciri-ciri AI yang terbina dalam Teams dan Copilot, menurut syarikat itu.
Microsoft menambah bahawa Maia 300 bakal menghasilkan 40 peratus lebih banyak tugasan AI daripada jumlah tenaga elektrik yang sama berbanding sistem terkemuka, dan lebih dua kali ganda berbanding cip terdahulunya.
Kecekapan tenaga kini menjadi keutamaan bagi syarikat teknologi yang berlumba-lumba membina pusat data, memandangkan permintaan elektrik untuk AI memberi tekanan kepada grid kuasa serta meningkatkan kos.
Setiap rak pelayan iaitu unit saiz kabinet di dalam pusat data, bakal memuatkan 96 cip berkenaan, dua kali ganda berbanding sebelum ini, serta mampu mengendalikan beban kerja sehingga tujuh kali ganda lebih tinggi, kata syarikat itu.
Komponen pengkomputeran cip baharu ini akan dikilangkan oleh syarikat TSMC dari Taiwan.
Dalam hantaran berasingan, jurutera Microsoft menyatakan bahawa fokus utama mereka adalah untuk mengurangkan pembaziran tenaga semasa penghantaran data dalam mesin, yang menjadi masalah semakin memuncak apabila alatan AI mengendalikan tugasan yang lebih kompleks.
Sistem ini kebanyakannya didinginkan menggunakan cecair, namun Microsoft mengesahkan ia juga boleh beroperasi di pusat data lama yang menggunakan sistem pendingin udara. – AFP
