Sejak kebelakangan ini, kita boleh lihat pasaran NFT semakin mendapat perhatian dari pelbagai platform media sosial. Turut tidak ketinggalan, semalam, Mark Zuckerberg mengumumkan bahawa syarikatnya merancang untuk memperkenalkan pasaran NFT ke dalam Instagram dalam jangka masa terdekat.
Tanpa memberikan maklumat lebih terperinci, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Meta itu menyifatkan penggabungan NFT ke dalam aplikasi perkongsian foto dan video tersebut sedang diusahakan untuk tiba dalam beberapa bulan akan datang.
Pada Disember yang lalu, Ketua Instagram, Adam Mosseri pernah mengesahkan bahawa mereka sedang giat mengkaji NFT bertujuan untuk membawa teknologi tersebut ke khalayak yang lebih luas.
Mosseri juga percaya bahawa NFT adalah sesuatu yang menarik di samping diharapkan dapat membantu pencipta kandungan sendiri di Instagram.
Bahkan, perancangan NFT ini sudah pun dalam pembangunan, di mana Instagram pernah menganjurkan “Creator Week“, sebuah acara maya tertutup yang hanya menjemput pencipta NFT sahaja.
Pengumuman dari Zuckerberg ini menampakkan impiannya untuk menjadikan Meta sebagai sebuah syarikat metaverse. Tentunya istilah metaverse ini menggambarkan masa depan internet yang terutamanya akan diakses melalui teknologi imersif seperti set kepala VR dan AR.
Zuckerberg turut berkata, jangka panjang, dia berharap pakaian avatar pengguna dalam metaverse nanti boleh ditempa sebagai NFT.
Dipercayai segala fungsi dan perancangan untuk alam metaverse ini akan hadir beberapa tahun lagi.
Sumber: engadget
Baca juga: