Pelik Tetapi Wujud, Ini Senarai Telefon Yang Gunakan Bateri Jenis AA

 

Umum mengetahui telefon pintar yang digunakan sekarang menggunakan bateri dari jenis lithium-ion atau lithium polimer. Namun, pernahkah anda terfikir mengapa telefon pintar tidak menggunakan bateri dari jenis AA atau AAA?

Bateri ini banyak ditemui untuk peralatan elektronik mudah dan permainan. Ia banyak dijumpai di kedai-kedai runcit menjadikannya satu produk yang mudah untuk diperolehi.

Kapsyen: Gambar hiasan - Lambakan bateri AA


Selain dari reka bentuknya yang tebal untuk dimuatkan dalam sebahagian rekaan telefon pintar, terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan mengapa bateri jenis AA tidak digunakan pada telefon pintar masakini.

Tidak Boleh Dicas Semula


Salah satu faktor utamanya adalah ia kurang praktikal untuk digunakan pada telefon disebabkan bateri ini tidak boleh dicas seperti bateri pada telefon pintar sekarang.

Ini adalah disebabkan bateri jenis AA ini diperbuat daripada bahan kimia karbon zink atau alkalin yang berbeza dengan lithium-ion atau lithium-polimer pada telefon pintar.

{suggest}

Bateri yang diperbuat menggunakan kimia karbon zink/alkalin sebenarnya bukan dicipta untuk dicas sebaliknya hanya untuk pakai buang sahaja. Jika anda cuba untuk mengecas bateri jenis ini, bateri berisiko tinggi untuk bocor dan meletup.

Kapsyen: Bateri AA alkalin


Bagaimana pula ada bateri AA yang boleh dicas?

Memang betul ia dari bateri AA, tetapi bahan kimianya bukanlah dari karbon zink/alkalin, sebaliknya adalah dari kimia hidrida logam nikel (NiMH). Bateri ini lebih mahal dari karbon zink, namun boleh dicas semula.

Kapsyen: Bateri AA dari jenis NiMH


Walaupun bateri jenis NiMH boleh dicas semula, ia mempunyai peratusan kehilangan cas yang agak tinggi iaitu sekitar 30% setiap bulan.

Jadi, walaupun boleh dicas semula, ia masih kurang sesuai digunapakai dalam telefon disebabkan pengurangan jangka hayat yang sangat pantas.

Kuasa Yang Lemah


Telefon pintar menggunakan terlalu banyak kuasa. Seperti contoh, 1 unit bateri AA alkalin dilengkapi dengan 1.5V berkapasiti sekitar 2,500mAh. Walaupun dapat dilihat ia mempunyai kapasiti bateri yang cukup untuk sebuah telefon pintar biasa, voltan yang dimiliki adalah terlalu rendah untuk menguasakan telefon tersebut.

Kapsyen: Bateri AA hanya mempunyai 1.5V sahaja


Jika dibandingkan dengan bateri lithium-ion pada telefon pintar masakini, voltan yang dimiliki adalah pada 3.8V, jauh lebih berkuasa berbanding dengan bateri AA.

Kapsyen: Rata-rata bateri Li-ion telefon pintar mempunyai 3.7V-3.8V


Dengan voltan yang lebih tinggi, bateri boleh mengeluarkan lebih banyak kuasa untuk kegunaan peranti atau alat elektronik.

Demikian itu, jika telefon pintar mahu menggunakan bateri AA, bukan satu sahaja unit diperlukan, tetapi mungkin mencapai 3-4 semata-mata mahu menyamai voltan dan kuasa yang sama seperti bateri lithium-ion.

Sekarang, cuba bayangkan telefon anda dengan 4 bateri AA didalamnya. Bukan itu sahaja, 4 bateri ini jika sudah cukup habis, anda perlu ada sandaran 4 bateri lagi semata-mata untuk memastikan telefon pintar kekal hidup sepanjang masa.

Bateri Lithium-ion Lebih Ringan


Sebuah bateri lithium ion dengan kapasiti bateri 4,000 mempunyai berat sekitar 52g manakala bateri AA dengan kemampuan kuasa yang sama adalah lebih berat pada 92g.

Tambahan lagi, ini sudah tentu memberi kesan kepada rekaan telefon pintar yang lebih buruk, tebal, dan yang paling utama adalah lebih berat.

Bateri AA Tidak Sesuai Untuk Telefon Pintar


Kesemua jenis bateri yang tidak boleh dicas seperti karbon dan zink ini, mereka mempunyai satu perwatakan yang sama - mereka tidak dicipta untuk produk seperti telefon pintar yang mempunyai masa aktif lebih lama dari masa 'idle'.

Jika anda perhatikan kegunaan pada bateri AA, dimanakah mereka dijumpai?

Ia dijumpai di peralatan yang kurang berkuasa, dan kebiasannya lebih banyak masa 'idle' berbanding aktif. Contoh seperti permainan kereta kawalan jauh, alat kawalan TV, jam dinding, dan lain-lain lagi.

Telefon pintar sebaliknya merupakan peralatan yang lebih banyak digunakan pada masa aktif berbanding membiarkannya secara 'idle'.

Kapsyen: Gambar hiasan - Menggunakan telefon pintar


Bateri AA tidak direka untuk situasi seperti telefon pintar ini. Tambahan lagi, telefon pintar menggunakan kuasa yang banyak untuk berfungsi.

Ada Je Telefon Dengan Bateri AA, Tetapi Bukan Telefon Pintar


Pun begitu, masih ada juga pengeluar yang menghasilkan telefon pintar dengan bateri AA ini. Namun, ia sebaliknya bukan telefon pintar tetapi hanya sebuah telefon asas biasa sahaja.

  • SpareOne Plus


Ia adalah SpareOne Plus dan merupakan telefon bertujuan sebagai telefon sandaran atau kecemasan. Telefon ini telah dilancarkan pada tahun 2012 lamanya.

Kapsyen: SpareOne Plus


Kelebihan utamanya adalah ia mampu bertahan sehingga 15 tahun walau tidak digunakan.

Dengan hanya menggunakan 1 unit bateri AA, ia boleh ditukar, namun disebabkan ia mampu bertahan dengan sangat lama, sudah tentu anda tidak perlu menukar baterinya walaupun ia boleh ditukar.

Kapsyen: Isi dalam SpareOne Plus


Telefon ini sangat asas dan hanya boleh membuat panggilan asas menggunakan rangkaian 2G. Menggunakan butang kekunci pad fizikal, pengguna boleh memprogramkan 9 kenalan tersendiri.

Seperti dijangka, telefon ini tiada paparan. Petak pada bahagian hadapan itu sebenarnya hanyalah sekadar LED status sahaja.

Antara fungsi menarik lain adalah lampu suluh menggunakan cahaya LED di atas telefon. Ketika pelancarannya, ia dijual pada harga sekitar RM240, namun sekarang sudah menjadi sangat murah berikutan sudah lama dilancarkan.

  • Olive FrvrOn


Ada sebuah lagi telefon dengan spesifikasi lebih baik yang menggunakan bateri AAA iaitu Olive FrvrOn. Ia mempunyai sebuah paparan berwarna 1.5 inci dengan resolusi 128 x 128p.

Kapsyen: Olive FrvrOn


Didalamnya sudah ada bateri Li-ion terbina berkapasiti 600mAh, namun ia juga turut boleh dikuasakan melalui 1 unit bateri AAA. Telefon ini dilancarkan lebih lama iaitu pada tahun 2010.

Kapsyen: Olive FrvrOn yang mempunyai 2 sumber kuasa bateri - Li-ion dan bateri AAA


 

Sumber:

  1. Panasonic

  2. Reddit

  3. Quora

Berkaitan