MediaTek Umum Helio G80 - Cip Gaming Untuk Peranti Bajet

Siri G dalam jenama MediaTek hari ini mendapat satu lagi model baru dengan pengenalan Helio G80. Seiring dengan namanya, ia merupakan cip kurang berkuasa dari Helio G90/G90T dan juga sedikit lebih berkuasa dari Helio G70/G70T.

Dari segi keseluruhan, cip ini dilihat tidak banyak bezanya dengan Helio G70/G70T yang baru sahaja diumumkan bulan lepas. Helio G80 menggunakan 8 teras dengan 2 teras utama Cortex A75 (2.0GHz) serta 6 teras jimat tenaga Cortex A55 (1.8GHz) pada 12nm. GPU pula adalah ARM Mali-G52 MC2 dengan kelajuan 950MHz, yang lebih laju berbanding 820MHz pada G70.

Berlainan dengan G90/G90T, G80 tidak mempunyai cip AI. Untuk sokongan memori, ia menyokong sehingga 8GB RAM LPDDR4X. Cip ini tidak menyokong storan pantas UFS sebaliknya hanya maksimum setakat eMMC 5.1 sahaja.



Cip ini hanya menyokong sehingga FullHD+ pada 60Hz, Bluetooth 5.0 dan juga kamera tunggal sehingga 48MP. Dari segi keseluruhan, prestasinya adalah lebih dekat dengan cip Snapdragon 710. Cip MediaTek Helio G80 ini baru sahaja diumumkan jadi masih tiada maklumat mengenai peranti yang akan menggunakannya. Sementara itu, untuk Helio G70, ia sah akan digunapakai dalam peranti realme C3 yang akan diumumkan beberapa hari sahaja lagi.

Sumber: MediaTek

Berkaitan