Mana EV Sedan Pilihan Anda? Ini Perbandingan Tesla Model 3 Dan BYD Seal

Industri EV Malaysia terus rancak dengan kemasukan pelbagai model EV yang cukup menarik.

Terbaru adalah dari pengeluar EV terkemuka dari China, BYD yang baru sahaja melancarkan model terbaru EV mereka untuk pasaran tempatan, BYD Seal. Sekali gus menambahkan lagi model EV sedia ada mereka di Malaysia selepas Atto 3.

BYD Seal dilihat sebagai pesaing utama kepada EV Tesla Model 3 di Malaysia yang telah dilancarkan pada September 2023 lalu.

Sebagai kategori EV sedan, 2 model ini dilihat akan menjadi pemain utama bagi kategori tersebut.

Jadi, antara 2 model ini yang manakah menjadi pilihan anda?

Harga dan varian Tesla Model 3


Tesla menawarkan Model 3 untuk pasaran Malaysia dengan harga jualan yang bermula dari RM189,000 bagi varian Pacuan Roda Belakang.

Varian ini memberikan jarak perjalanan sejauh 513km dan kelajuan maksimum 201km/j.



Model 3 juga ditawarkan dalam varian jarak jauh (Motor berkembar Pacuan Semua Roda) yang berharga dari RM218,000 dan boleh mencapai sehingga RM233,000.

Varian ini mampu memberikan jarak perjalanan sejauh 629km dan kelajuan maksimum 201km/j.

Secara ringkas, Tesla Model 3 hadir dengan warna putih dan rim bersaiz 18" (atau pilihan rim 19" berharga RM7,500).

Tapi untuk pilihan warna Solid Black dan Deep Blue, anda perlu menambah RM5,000. Manakala pilihan warna Stealth Grey dan Ultra Red pula masing-masing berharga RM7,500 dan RM11,000.

Untuk bahagian dalaman pula, ia didatangkan standard dalam warna hitam. Tapi untuk pilihan gabungan warna putih dan hitam, anda perlu menambah RM5,000 lagi.

Sungguhpun tersedia dengan ciri swapandu, tapi untuk melengkapi Model 3 anda tersedia sepenuhnya dengan ciri penuh swapandu, Tesla menawarkan pilihan ciri tambahan Enhanced Autopilot yang berharga RM16,000 dan Full Self-Driving Capability berharga RM32,000.


Harga dan varian BYD Seal


Seperti yang diumumkan hari ini, BYD Seal ditawarkan dalam 2 varian untuk pasaran tempatan,  Seal - Varian Premium dan Seal - Varian Prestasi AWD dengan masing-masing berharga RM179,800 dan RM199,800.

Seal - Varian Premium menghasilkan 308 hp dan tork 360 Nm dengan bateri berkapasiti 82.5 kWh LFP yang mampu memberikan jarak perjalanan sejauh 570 km.

Manakala Seal - Varian Prestasi pula berupaya menghamburkan kuasa setinggi 215 hp dan tork 310 Nm ditambah lagi unit motor di belakang 308 hp/360 Nm.

Sekali gus menghamburkan kuasa keseluruhan setinggi 523 hp dan tork setinggi 670 Nm.

Kapsyen: Model Premium dan Prestasi AWD menambah baik pengalaman memandu dengan roda aloi 19-inci spesifikasi 235/45 R19


Tapi ia masih menggunakan kapasiti bateri yang sama dengan Seal - Varian Premium yang mampu memberikan jarak perjalanan 520 km.

Untuk pengecasan baterinya, Seal - Varian Premium dan Prestasi menggunakan pengecas AC Type 2 7kW yang mengambil masa selama 15.2 jam untuk mengecas bateri dari 0% - 100%.

Tapi dengan pengecas DC, ia menyokong sehingga 150 kW yang hanya mengambil masa mengecas 37 minit dari kadar bateri 10 - 80%.

Kapsyen: Pilihan warna yang disediakan termasuk Biru Artik (eksklusif untuk model Performance), Cosmos Black, Atlantis Grey, dan Aurora White (disediakan untuk Premium).

Lain-lain


Untuk Model 3, Tesla menawarkan waranti Asas Terhad Kenderaan yang melindungi EV ini selama 4 tahun atau 80,000 km (yang mana dahulu).

Untuk bateri dan unit pemacunya pula, waranti diberi Tesla adalah selama 8 tahun atau sehingga 192,000km (yang mana dahulu).



Sementara BYD pula menawarkan 2 pakej servis menyeluruh: pakej Standard dan Plus. Tawaran khas ini meliputi khidmat penjajaran, pengimbangan dan penggiliran tayar untuk kedua-dua pakej tersebut.

Menerusi SEAL juga, BYD menawarkan pakej waranti menyeluruh termasuk waranti kenderaan 6-tahun atau 150,000km, waranti bateri selama 8-tahun atau 160,000km, dan waranti unit pemacu untuk tempoh 8-tahun atau 150,000km.

Sempena pelancaran Seal hari ini, BYD turut menawarkan pengecas wallbox percuma dan kredit cas Gentari atau ChargEV bernilai RM800 secara percuma kepada 800 pelanggan awal mereka.

Kapsyen: Anda boleh melihat sendiri BYD SEAL dengan mengunjungi bilik pameran BYD yang terdekat atau di The Exchange, TRX dari 23 hingga 25 Februari, 2024 dan berpeluang untuk menandu uji BYD SEAL.

Insentif Kerajaan


Kerajaan ketika ini dalam usaha menggalakkan orang ramai memiliki kenderaan elektrik (EV) dalam usaha mengurangkan jejak karbon dan memelihara alam sekitar.

Pembeli EV dapat menikmati insentif seperti pengecualian cukai kenderaan (sehingga 31 Disember 2025) dan pemilik EV juga boleh menuntut pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas perbelanjaan berkaitan kos pemasangan, penyewaan, pembelian termasuk peralatan sewa beli atau yuran langganan untuk kemudahan pengecasan EV.

Dengan galakan insentif dari pihak Kerajaan dan pelbagai model EV baharu yang memasuki pasaran, ia memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna.

Jadi, bagi mereka yang mampu, EV mungkin menjadi pilihan yang baik untuk anda.

{suggest}