Malaysia Sambut Hari Keselamatan Internet 2022

Minggu lalu iaitu pada 8 Februari 2022, dunia telah menyambut Hari Keselamatan Internet (Safer Internet Day (SID))  yang disambut di 200 buah negara dengan objektif untuk mempromosi keselamatan internet dengan mendidik dan meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan warga digital.

Untuk kali ini, sambutan Hari Keselamatan Internet 2022 peringkat global adalah bertemakan ‘Together for a Better Internet’.

Malaysia juga turut menyambut SID ini sejak tahun 2010 lagi yang diterajui oleh CyberSecurity Malaysia di bawah program CyberSAFE.

Untuk SID 2022–Edisi Malaysia kali ini membawa tema kesejahteraan Keluarga siber Malaysia melalui kempen ‘KITA Siber’ di mana warga digital diseru untuk mengamalkan sikap kebertanggungjawaban ke atas diri sendiri serta orang lain bagi membentuk komuniti digital yang sejahtera lagi progresif.

Sempena sambutan SID tahun ini,  Kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara menyeru masyarakat supaya sentiasa mengamalkan etika penggunaan Internet yang berhikmah dan mengamalkan tips-tips keselamatan Internet seperti waspada terhadap emel atau pautan yang mencurigakan, mematikan komputer dan sambungan Internet apabila tidak digunakan serta mengemas kini kata laluan kepada yang lebih kukuh.

Sumber: MKN, CyberSAFE, CyberSecurity

Baca juga: