MCMC Nasihatkan Pengguna Media Sosial Segera Aktifkan Ciri Pengesahan 2 Faktor





Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menasihatkan orang ramai supaya mengaktifkan ciri pengesahan dua-faktor (‘two-factor authentication’-2FA) pada akaun media sosial dan platform pemesejan yang dimiliki mereka.

Ia adalah sebagai satu ciri yang dapat meningkatkan keselamatan akaun pengguna selain daripada kata laluan anda.




Melalui 2FA, pengguna akan diminta untuk memasukkan kod log masuk atau kunci keselamatan khas bagi mengakses akaun. Anda juga boleh mendapatkan amaran (‘alert’) apabila terdapat percubaan log masuk daripada pelayar atau peranti mudah alih yang tidak dikenali dan diminta mengesahkan percubaan log masuk anda setiap kali terdapat cubaan dibuat.




Gesaan ini dibuat berikutan peningkatan jumlah aduan berkaitan penggodaman dan kehilangan akses sebanyak 55% di mana pada tahun 2020, MCMC telah menerima sebanyak 1,599 aduan. Tetapi pada tahun 2021 ia meningkat kepada 2,483 aduan.

Rata-rata pengadu memohon bantuan dan nasihat bagi mendapatkan kembali akses kepada akaun dan halaman milik atau kendalian mereka akibat digodam.

MCMC juga meminta orang ramai untuk tidak klik kepada pautan-pautan mencurigakan yang diterima melalui e-mel serta sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan sebarang panggilan telefon atau mesej daripada mana- mana individu (sama ada yang dikenali atau tidak dikenali) yang meminta anda berkongsi kod khas seperti kod keselamatan (‘Security Code’) kepada akaun media sosial serta aplikasi pemesejan mereka.

Sumber: MCMC

Baca juga: