Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Tak Ramai Tahu: Malaysia Sebenarnya Hebat Dalam Dunia Siber

Posted on Mei 20, 2025Mei 21, 2025

Dalam dunia yang semakin bergantung pada teknologi, keselamatan siber bukan lagi isu kecil. Ia adalah pertahanan utama negara. Malaysia kini muncul sebagai antara negara yang giat membina ekosistem keselamatan siber sendiri, bukan sahaja melalui dasar dan infrastruktur, tetapi melalui bakat-bakat tempatan yang kini mendapat pengiktirafan global.

Siapa sangka, dari Cyberjaya dan kampus-kampus tempatan, lahir nama-nama besar yang menjadi rujukan dunia. Ini antara individu dan inisiatif yang mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa dalam bidang keselamatan siber.

Dato’ Mohd Noor Amin: Peneraju IMPACT, Disokong PBB

Sebagai Pengerusi International Multilateral Partnership Against Cyber Threats (IMPACT), satu-satunya organisasi keselamatan siber yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Dato’ Mohd Noor Amin membawa nama Malaysia ke barisan hadapan dalam menangani ancaman siber global.

Namun, peranan beliau lebih besar daripada sekadar jawatan rasmi. Selepas tragedi 9/11, Amin menyedari keperluan mendesak untuk sebuah platform global yang menyatukan kerajaan, industri, dan akademia bagi memperkukuh daya tahan dunia terhadap ancaman siber. Dari visi itu, IMPACT dilahirkan dan Malaysia menjadi pangkalnya.

Beliau juga kini merupakan Pengerusi Ascendsys (MSC) Sdn. Bhd., antara penyedia perkhidmatan keselamatan terurus (Managed Security Services – MSS) terkemuka di Asia Tenggara.

Di dalam negara pula, Dato’ Amin diiktiraf sebagai penyokong awal teknologi Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) yang menggabungkan teknologi bagi menangani kesesakan lalu lintas, mengurangkan pencemaran dan meningkatkan keselamatan jalan raya. Beliau juga mempengerusikan Persidangan ITS Asia-Pasifik, yang menghimpunkan pakar serantau dan antarabangsa dalam bidang ini.

Dalam konteks hubungan antarabangsa, beliau adalah ahli pengasas Majlis Persahabatan Malaysia-AS yang berpangkalan di Washington DC yang mana memfokuskan kepada hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Dato’ Mohd Noor Amin berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-Undang Komersial dan Korporat dari King’s College London, dan memulakan kerjayanya dalam bidang perundangan sebelum menjadi antara figura penting dalam keselamatan siber dunia.

SkyJu1c3 APU: Pasukan Wanita Malaysia Tawan US Cyber Range

Foto: APU

Siapa kata keselamatan siber hanya dikuasai oleh lelaki? Pasukan wanita dari Asia Pacific University (APU) membuktikan sebaliknya. Dikenali sebagai SkyJu1c3, mereka berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan antarabangsa Wicked6 US Cyber Range 2025.

Ia merupakan sebuah acara yang menguji kemahiran teknikal secara langsung dalam simulasi ancaman siber.

Kejayaan ini membuktikan bahawa bakat muda Malaysia mampu menyaingi pemain antarabangsa, bahkan dalam pentas paling kompetitif.

Multimedia University (MMU): Melahirkan Graduan Siber Bertaraf Dunia

Foto: MMU

Sebagai antara universiti digital terbaik di negara ini, MMU tidak asing lagi dalam membentuk bakat keselamatan siber. Dengan program yang mengikuti standard industri dan kerjasama erat bersama agensi serta syarikat global, MMU terus melahirkan pakar yang kini berkhidmat dengan organisasi antarabangsa termasuk dalam sektor kerajaan, fintech dan keselamatan.

Akademi Keselamatan Siber Malaysia: Menyahut Cabaran Global

Untuk memenuhi permintaan tenaga kerja mahir dalam bidang ini, kerajaan Malaysia memperkenalkan Akademi Keselamatan Siber Malaysia (CSAM) yang bakal mula beroperasi sepenuhnya pada suku kedua 2025.

Matlamatnya jelas, iaitu melatih lebih 26,000 profesional keselamatan siber, merangkumi kursus teknikal, pensijilan antarabangsa dan program latihan semula kemahiran.

Langkah ini bukan sahaja membantu menangani isu kekurangan bakat, tetapi juga menyasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai pengeksport bakat siber kepada dunia.

BlackBerry CCoE: Gergasi Global Pilih Malaysia

Foto: BlackBerry

Syarikat global BlackBerry turut menyumbang kepada pembangunan bakat tempatan melalui penubuhan Cybersecurity Center of Excellence (CCoE) di Cyberjaya.

Terkini, mereka mengumumkan peluasan kurikulum pusat tersebut dengan menawarkan latihan keselamatan siber percuma kepada pelbagai kumpulan sasaran.

Ini termasuk golongan wanita, pelajar, penjawat awam, dan komuniti kurang mendapat akses.

Selain itu, BlackBerry turut bekerjasama rapat dengan institusi pendidikan dan agensi kerajaan bagi memastikan latihan yang ditawarkan menepati keperluan sebenar industri. Langkah ni sebenarnya lebih daripada sekadar inisiatif.

Ia merupakan satu usaha strategik untuk pastikan tenaga kerja siber kita bukan sahaja cukup dari segi kemahiran, tapi juga datang daripada pelbagai latar belakang.

Malaysia nak jadi hab keselamatan siber serantau? Tak mustahil. Tapi kita kena mula dengan bina ekosistem yang melibatkan ramai pihak, di mana semua orang ada peluang yang sama untuk berkembang dalam bidang ni, tak kira siapa mereka atau dari mana mereka datang.

Malaysia Tidak Lagi Sekadar Pengguna Teknologi

Kisah seperti Dato’ Mohd Noor Amin, kejayaan pasukan SkyJu1c3 dan pelbagai inisiatif kerajaan menunjukkan bahawa Malaysia tidak lagi hanya mengikut jejak negara maju, tetapi sudah mula membuka jalan tersendiri dalam keselamatan siber.

Saya yakin, kita masih ada banyak lagi bakat serta institusi tempatan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa. Negara sahaja yang perlu memanfaatkan bakat sedia ada dan tidak mensia-siakan mereka.

Sampai bila pakar tempatan digunakan negara luar. Sedangkan, kepakaran tersebut boleh digunakan di Malaysia.

Tambahan lagi, baru-baru ini, infrastruktur strategik kecerdasan buatan (AI) dilancarkan di mana Malaysia menjadi negara pertama di luar China yang melaksanakan penggunaan model bahasa raya (LLM) sumber terbuka DeepSeek pada skala nasional, dan pertama di rantau ini yang memiliki ekosistem AI dikawal sepenuhnya.

Jadi, bukan sahaja keselamatan siber, AI juga secara tidak langsung mengukuhkan lagi Malaysia dalam dunia digital.

Apa-apa pun, dengan pelaburan berterusan dalam pembangunan bakat dan ekosistem digital, tidak mustahil Malaysia akan menjadi hab siber utama di Asia Tenggara, malah dunia.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress