Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY
AFP, Apple

MacBook Neo Menjadikan Mac Lebih Mampu Milik Untuk Ramai Pengguna

Posted on Mac 5, 2026

Selama bertahun-tahun, laptop Apple sering dilabel sebagai mahal, tidak berbaloi dan hanya dibeli oleh golongan tertentu. Persepsi ini sangat kuat pada era MacBook Intel dahulu. Memakai MacBook kadang-kadang dianggap sebagai simbol “kaya”, walaupun tidak semestinya begitu.

Namun keadaan itu sebenarnya semakin berubah.

Saya sendiri sudah menggunakan Mac lebih daripada sepuluh tahun. MacBook Pro Retina pertama saya digunakan sejak zaman asasi, kemudian sepanjang pengajian universiti sehingga menjalani latihan industri. Walaupun ia masih menggunakan cip Intel ketika itu, prestasinya kekal stabil untuk tempoh yang lama.

Keadaan menjadi lebih ketara selepas Apple beralih kepada Apple Silicon. MacBook Air M1 yang saya gunakan sekarang sudah memasuki tahun keenam dan masih cukup berprestasi untuk penggunaan harian pada tahun 2026. Walaupun tidak lagi sepantas ketika baru dibeli, ia masih lancar untuk kebanyakan tugas termasuk penggunaan macOS yang semakin berat dari segi grafik.

Dengan kemunculan MacBook Neo, Apple sebenarnya membawa mesej yang lebih jelas. Laptop Apple tidak lagi semestinya mahal.

Dengan harga RM2499, atau RM2099 untuk harga “Apple Education”, MacBook Neo membuka akses kepada lebih ramai pengguna yang mahukan laptop yang stabil, tahan lama dan kurang masalah. Pada harga ini, agak sukar untuk mencari laptop lain yang menawarkan pengalaman setanding dari segi prestasi jangka panjang dan ekosistem perisian.

AFP, Apple

Namun perlu juga diakui bahawa MacBook Neo bukanlah sebuah laptop yang sempurna. Untuk mencapai harga lebih rendah, Apple membuat beberapa kompromi dari segi perkakasan.

Antara kompromi yang ada:

• RAM terhad kepada 8GB sahaja dan tidak boleh naik taraf langsung
• Tiada papan kekunci backlit
• Tiada Force Touch trackpad
• Paparan hanya sRGB, bukan P3 seperti MacBook lain
• Satu port USB 2 dan satu USB 3

Walaupun begitu, kompromi ini tidak semestinya menjadi masalah besar bagi pengguna sasaran laptop ini.

Untuk kebanyakan pelajar yang hanya menggunakan pelayar web, perisian Office atau tugasan asas, MacBook Neo sebenarnya sudah lebih daripada mencukupi. Cip A18 Pro yang digunakan juga bukanlah cip lama dan masih cukup berkuasa untuk kegunaan laptop asas.

Memang ada yang mungkin mengatakan tablet seperti iPad juga boleh melakukan kerja ringan. Namun perlu diingat bahawa macOS masih merupakan sistem operasi desktop yang sebenar.

Pengalaman menggunakan macOS tidak sama dengan iPadOS mahupun Android pada tablet, terutamanya dari segi pengurusan fail, sokongan aplikasi desktop dan fleksibiliti untuk kerja sebenar.

Macam mana dengan Chromebook? Walaupun Neo adalah Chromebook versi Apple tapi bagi saya ia tidak setanding lansung terutama dari segi keserasian aplikasi dan sebagainya. Ia belum lagi bercakap spesifikasi Chromebook yang sangatlah jauh bezanya. Ada juga saya baca komen warga maya yang tak puas hati katanya “boleh dapat laptop gaming, lagi power la”.

Ingat, laptop gaming ni saiznya gedabak, rekaan sangat gamers. Cuba anda lihat MacBook Neo, ia kelihatan lebih nipis, minimalis, lebih ringan, nak cas pun boleh saja guna powerbank menggunakan kabel USB C.

Pun begitu, MacBook Neo mungkin kurang sesuai bagi pengguna yang memerlukan perisian khusus yang hanya menyokong Windows, atau bagi mereka yang melakukan kerja berat seperti penyuntingan video, grafik atau pembangunan perisian yang kompleks.

Walaupun MacBook Neo mempunyai kekangan seperti RAM maksimum 8GB yang tidak boleh dinaik taraf, spesifikasi tersebut masih memadai untuk beberapa tahun penggunaan bagi kebanyakan pengguna biasa.

Apa yang menarik, perubahan harga MacBook sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut memberi kesan kepada pasaran terpakai. Jika dahulu MacBook terpakai boleh dijual pada harga yang agak tinggi, kini nilainya semakin rendah kerana model baharu juga sudah menjadi lebih mampu milik.

Ringkasnya, MacBook Neo menunjukkan satu perubahan penting. Apple yang dahulu sering dikritik kerana harga laptop yang tidak sepadan dengan spesifikasi kini sebenarnya menawarkan MacBook yang lebih berbaloi untuk dimiliki.

Ia mungkin bukan MacBook terbaik yang pernah Apple hasilkan, tetapi untuk pengguna yang mahu memasuki ekosistem Apple dengan harga mampu milik, MacBook Neo adalah satu pilihan yang cukup baik lebih-lebih lagi pada zaman AI yang mana kebanyakan komponen komputer semakin mahal.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress