Macau Scam Semakin Licik, Pengurus Bank Diperdaya Rugi RM605,000

Bulan lepas, kami melaporkan sindiket Macau Scam yang telah mengakibatkan ahli perniagaan rugi sebanyak RM140,679. Kali ini, lagi kes penipuan Macau Scam yang melibatkan pengurus bank menanggung kerugian sebanyak RM605,000.

Kejadian berlaku di Seremban apabila wanita berumur 53 tahun (pengurus bank) telah menerima panggilan daripada seorang wanita yang menggelar dirinya sebagai 'Suraya Sani' jam 5 petang Januari lepas.

Kononnya dia dari ibu pejabat Etiqa yang mendakwa ada individu menuntut pampasan dengan menggunakan namanya. Panggilan kemudiannya telah disambungkan kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai 'Sarjan Hairul Mohd Musa' di Balai Polis Pudu.

Pengurus bank tersebut telah ditunjukkan waran tangkap. Untuk menyelesaikan 'masalah' ini, dia diminta untuk memindahkan wang dari Akaun ASNB sebanyak RM425,000 dan Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) berjumlah RM180,000 ke satu akaun Bank Islam.

Kononnya sebagai siasatan polis, wanita tersebut telah diarahkan untuk tidak memeriksa akaun Bank Islam miliknya itu. Setelah merasa curiga, dia memeriksa akaun banknya itu malangnya wang dalam akaun tersebut telah lesap.

Laporan polis terus dibuat semalam, 23 Mac 2022. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial  (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontijen Negeri Sebilan Supt Aibee Abd Ghani mengendalikan kes ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Di sini kami ingin mengingatkan sekali lagi, jika anda menerima panggilan daripada mana-mana pihak kemudian ianya disambungkan kepada pihak polis, yakinlah bahawa anda adalah mangsa Macau Scam.

Sumber: Bernama

Baca juga: