Lagi Sindiket Macau Scam, Ahli Perniagaan Rugi Sebanyak RM140,679

Rata-rata rakyat Malaysia sudah pasti pernah mendengar sindiket berkenaan Macau Scam. Bukan itu sahaja, penulis juga pasti ada juga dalam kalangan pembaca yang pernah menerima panggilan dari sindiket sedemikian.

Terbaharu, seorang lagi mangsa telah terlibat dalam penipuan ini sehingga melibatkan kerugian sebanyak RM140,679. Mangsa merupakan seorang ahli perniagaan telah menerima panggilan dari suspek yang menyamar sebagai pegawai Telekom Malaysia (TM) yang mendakwa identiti mangsa telah digunakan untuk jenayah siber dan pengubahan wang haram.

Setelah menafikan kegiatan itu, suspek menasihatkan mangsa untuk berhubung dengan pegawai polis berpangkat sarjan yang juga merupakan suspek untuk meminta bantuan. Disamping suspek memberikan 'bantuan', mangsa juga diarah untuk menyerahkan maklumat perbankan  termasuk kata laluan, nombor kad ATM dan nombor TAC.

Tidak cukup dengan itu, arahan untuk menyerahkan maklumat akaun bank ibu mangsa juga diberikan dengan alasan untuk mengesahkan sama ada ibu mangsa juga turut terlibat dengan kes berkenaan.

Justeru, sebanyak 15 transaksi berjumlah RM140,679 daripada akaunnya dan hampir RM100,000 dari akaun ibunya telah dilakukan sejak 11 hingga 15 Februari lepas. Suspek mendakwa yang wang tersebut dipindahkan ke Bank Negara Malaysia untuk tujuan siasatan.

Mangsa mula curiga apabila suspek memintanya untuk membuat pinjaman bank. Disebabkan itu, mangsa telah membuat laporan polis pada 15 Februari dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Di sini kami ingin mengingatkan sekali lagi bahawa sindiket scam ini semakin berleluasa. Sedikit kelalaian boleh menyebabkan kerugian yang besar. Sebelum ini juga kami ada menulis artikel berkaitan taktik baharu scammer LHDN. Untuk baca lebih lanjut, boleh klik pautan ini.

Sumber: Bernama

Baca juga: