Sony dilaporkan akan memperkenalkan perkhidmatan langganan permainan video baharu untuk PlayStation minggu ini. Perkhidmatan itu sedang dibangunkan dengan nama kod (codename) “Spartacus” dan dipercayai akan menjadi pesaing Xbox Game Pass.
Turut dilaporkan, “Spartacus” akan menggabungkan perkhidmatan PlayStation Now dan PlayStation Plus. Ia juga akan menawarkan pelbagai peringkat yang akan merangkumi permainan moden dan klasik dari era PlayStation yang lebih lama.
Xbox Game Pass oleh Microsoft yang telah dilancarkan sejak tahun 2017 menjadi bukti perkhidmatan langganan permainan video diminati ramai.
Dengan langganan bulanan, suku tahunan, setengah tahun atau tahunan, pengguna boleh memuat turun dan bermain mana-mana permainan yang telah disediakan dalam Game Pass.
Dalam hal ini, Microsoft membuat tindakan yang bijak dengan menawarkan pilihan permainan yang banyak serta menjadikan permainan terkenal tersedia pada hari pertama pelancaran, seperti Halo Infinite pada Game Pass.
Sony, walau bagaimanapun, dijangka tidak akan membuat hal yang sama dan berkemungkinan akan mengekalkan beberapa permainan yang boleh dibeli hanya untuk jangka masa tertentu selepas dikeluarkan.
Jadi, pengguna mungkin tidak dapat mencuba permainan akan datang seperti God of War Ragnarök pada perkhidmatan ini dalam masa terdekat.
Satu lagi titik jualan (selling point) utama Xbox Game Pass ialah ketersediaannya pada PC. Ini juga boleh menjadi masalah untuk Sony kerana mempunyai senarai permainan console-exclusive yang lebih banyak berbanding Xbox.
Dalam pada itu juga, Sony baru-baru ini mengumumkan bahawa beberapa permainan PlayStation Exclusive sebelum ini akan tersedia untuk PC tidak lama lagi.
Namun, ia tentunya akan mengambil sedikit masa sebelum Sony dapat menawarkan pilihan yang cukup komprehensif untuk menarik pemain PC.
Sumber: Bloomberg
Baca juga: