LG Perkenal Lapan TV OLED Dan LCD Baru Di CES 2020

Acara Consumer Electronics Show (CES2020) akan bermula pada 7 hingga 10 Januari ini. Kesemua pengeluar barangan elektronik berkumpul di acara berkenaan bagi mempersembahkan produk-produk terbaru mereka.

Salah satu pengeluar yang terlibat ialah LG. Kali ini, LG akan memperkenalkan TV OLED dengan sokongan resolusi 8K pertama mereka di dunia.

 



Dua daripada model yang akan hadir ialah LG Signature OLED 8K TV berukuran 88 inci dan 77 inci dan enam model daripada LG NanoCell TV (Nano99, Nano97, dan Nano95) yang berukuran 75 inci dan 65 ini. Menurut LG, ''setiap model yang beresolusi 8K Ultra HD telah diiktiraf dalam industri yang ditetapkan oleh Consumer Technology Association (CTA)."



Untuk meningkatkan kualiti imej, pemprosesan Alpha 9 Gen 3 AI TV menggunakan pembelajaran mesin untuk memastikan bahawa semua kandungan, sama ada YouTube, Netflix, atau kandungan televisyen konvensional, ditingkatkan kepada 8K walaupun resolusi awalnya lebih rendah. Ianya bergantung kepada keupayaan pemprosesan untuk mengenali jenis kandungan pada skrin dan secara automatik menyesuaikan tetapan gambar untuk mengoptimumkan pengalaman tontonan.

Teknologi yang sama digunakan untuk bunyi TV. Pemprosesan akan mengenalpasti dan kemudian mengklasifikasikan audio dalam salah satu daripada lima kategori iaitu muzik, filem, sukan, drama atau berita. Kemudian, ia mengoptimumkan tetapan bunyi untuk pengalaman mendengar dengan baik.