Les' Copaque Production Kini Saluran YouTube Pertama Di Malaysia Dengan 10 Juta Langganan

Saluran YouTube yang dimiliki oleh studio animasi tempatan, Les' Copaque Production telah berjaya mencapai 10 juta langganan. Pencapaian yang baru direkodkan semalam sekali gus melayakkan Les' Copaque untuk menerima anugerah "Diamond Play Button" daripada platform perkongsian video dalam talian itu.

youtube les' copaque

Les' Copaque dalam satu kenyataan berkata, kejayaan tersebut telah direkod pada jam 2.06 petang, 11 Jun 2020. Ia merupakan pencapaian yang luar biasa dan membanggakan kerana menjadi saluran YouTube pertama di Malaysia yang menerima langganan melebihi 10 juta.

Saluran YouTube Les' Copaque telah diwujudkan sejak 9 November 2009 dan sehingga kini telah mencapai lebih 4 bilion tontonan.

Seperti sedia maklum, Les' Copaque bukan sahaja terkenal di Malaysia malah di negara jiran termasuk Indonesia. Antara siri animasi popular yang dikeluarkan oleh syarikat ini termasuk Upin & Ipin, Puteri, Pada Zaman Dahulu, dan DaDuDiDo.

Tahniah diucapkan kepada Les' Copaque Production.