Alkisah saya telah diberi peluang untuk menggunakan laptop Asus ProArt Studiobook 16 OLED (HS5600) untuk seketika waktu, dan persoalannya, adakah laptop ini boleh dikategorikan sempurna untuk para pencipta kandungan? Mari saya kongsikan.
Spesifikasi
Varian tertinggi bagi laptop ini adalah AMD Ryzen 9 5900HX, skrin 16″ 4K (3840×2400), RTX 3070, 64GB RAM, 1TB SSD – RM11,999.
Proses rendering adalah sangat laju, playback pun tidak menjadi masalah. Tiada rungutan yang boleh diungkit daripada saya semasa sesi penyuntingan.
Bagaimana prestasi ketika gaming? Jangan risau bro, RTX 3070 bro. Buka sahaja apa-apa permainan, 60fps itu tak lari punya. Cuma apabila bercerita tentang suhu, perlu untuk anda semua tahu bahawa mana-mana laptop yang menggunakan GPU yang berkuasa, dan apabila anda bermainan permainan video yang berat, sudah pasti suhunya menjadi tinggi. Namun, lubang udara yang tersedia berjaya mengeluarkan haba dengan baik. Walaupun panas, tetapi masih terkawal.
Anda juga boleh mengawal prestasi kipas laptop ini melalui perisian ProArt Studiobook yang tersedia di dalam laptop ini.
Touchpad
Berkenaan touchpad, ia sedikit unik berbanding laptop lain. Terdapat 3 butang iaitu butang kiri, butang kanan, dan butang tengah. Jika anda tertanya apa kegunaan butang tengah itu, ia lebih sesuai digunakan untuk memutarkan objek di dalam perisian CAD.
Selain itu, pengalaman saya menggunakan touchpad ini adalah sedikit tidak baik. Kadang-kadang ia tidak menerima input klik kiri apabila saya sentuh di touchpad, sehinggakan saya perlu menekan butang kiri. Saya boleh katakan ia agak kerap terjadi. Namun jika anda ingin menggunakan tetikus, saya pasti masalah itu dapat diselesaikan dengan mudah.
Keyboard
Berkenaan papan kekunci laptop ini, cukup bahagia saya menggunakannya. Key travel adalah sedalam 1.4mm, dan bagi saya ia memberikan kesan bounce back yang mencukupi. Jadi kepada anda yang mungkin ingin menulis artikel atau laporan dengan menggunakan laptop ini, saya pasti anda akan mengalami pengalaman yang baik.
Selain itu, Asus juga memberikan corak bertekstur pada butang anak panah. Kemudian, papan kekunci ini hadir dengan lampu belakang berwarna putih. Tiada RGB untuk mengekalkan profil minimal untuk laptop ini, namun ia cukup membantu apabila menaip di dalam keadaan gelap.
Skrin
Perkara yang paling menawan tentang laptop ini adalah pada bahagian skrin. Ia memaparkan resolusi 4K (3,840 x 2,400, 283ppi) dengan panel OLED yang tajam dan jelas. Penghasilan warna adalah sangat vibrant dan warna hitam adalah sangat mendalam. Jika anda ingin menonton kandungan, puas dia itu lain macam beb. Selain itu, ia juga memancarkan kecerahan setinggi 550 nits, tiada masalah untuk anda melihat skrin pada kawasan dalam ataupun luar.
Seterusnya, skrin ini juga menyokong 100% DCI-P3 colour gamut, dan juga telah disahkan oleh Pantone untuk penghasilan warna seperti di kehidupan sebenar.
Jika anda berhasrat untuk menggunakan skrin ini untuk menonton kandungan, melakukan editing di Adobe Photoshop, Premiere Pro dan lain-lain, saya jamin anda akan sangat berpuas hati.
Speaker
Bagaimana dengan pembesar suara? Bagi saya ia adalah sangat baik. Pengalaman saya mendengar muzik adalah menghiburkan. Ia mempunyai bass yang mencukupi, tidak hairan kerana profil audionya adalah daripada Harman Kardon. Kualiti audio yang bersih, seimbang dan juga mempunyai sound stage yang luas.
Cuma apabila saya membuka audio yang paling kuat, saya perasan ada pecah sedikit. Jangan risau, ia tidaklah terlalu teruk, cuma saya tidak berani untuk membuka volume sehingga 100% pada jangka masa yang lama. Apa-apa pun, saya tetap sarankan anda untuk menggunakan fon kepala atau pembesar suara luaran.
Asus Dial
Asus Dial adalah antara tarikan terbesar untuk laptop ini. Ia boleh ditekan dan diputarkan untuk melakukan sebarang tindakan mengikut perisian yang dibuka. Ia juga boleh diubahsuai melalui perisian Proart Creator Hub.
Sempat saya menggunakan Asus Dial ini untuk melakukan sedikit penyuntingan di Adobe Photoshop. Ia cukup memudahkan kerja saya untuk meningkatkan atau mengurangkan saiz tools yang tersedia. Seperti contoh, saya boleh ubahsuai saiz brush dengan hanya menggunakan Asus Dial. Saya tidak perlu mengubah saiz tools tersebut menggunakan tetikus ataupun keyboard shortcut.
Pada permulaannya, anda mungkin akan berasa sedikit keliru dengan fungsi ini. Jangan risau, berikan masa, biasakan diri dengan fungsi ini.
Bateri
Bateri untuk laptop ini adalah 90Wh. Untuk menguji ketahanan bateri ini, saya ada menulis artikel sedikit di Google Chrome sambil saya melakukan sedikit penyuntingan di Adobe Premiere Pro, selama dua jam. Penurunan bateri adalah daripada 100% kepada 72%. Jadi saya boleh rumuskan bahawa ia boleh bertahan dalam sekitar 5 jam tambah tolak. Menurut informasi tersebut, bateri laptop ini tidaklah terlalu baik, dan tidaklah terlalu teruk, normal sahaja. Cukup untuk saya menjalankan kerja tanpa risau bateri cepat habis.
Apa yang saya kurang berkenan tentang laptop ini?
Sepanjang saya menggunakan laptop ini, terdapat 2 perkara yang sedikit menjengkelkan bagi saya. Pertama sekali adalah Windows 11. Saya menemui beberapa masalah seperti tiba-tiba ia tersangkut, perisian selalu crash, dan banyak lagi. Saya dah boleh jangka masalah ini akan berlaku, tetap saya juga tahu bahawa masalah ini boleh diselesaikan melalui kemaskini Windows. Cuma apabila anda baru membeli laptop ini, banyak kemaskini yang anda perlu lakukan untuk mendapat prestasi yang optimal. Bukan masalah besar.
Seterusnya, saya kurang gemar dengan kamera tersedia di dalam laptop ini. Kualitinya hanyalah HD sahaja. Memandangkan laptop ini berharga lebih RM10,000, saya menjangkakan resolusi yang lebih baik. Saya tidak faham kenapa susah sangat untuk syarikat-syarikat laptop untuk meletakkan kamera yang baik pada laptop mereka. Sejujurnya saya pernah menggunakan laptop yang jauh lebih murah, tetapi kualitinya jauh lebih baik. Come on Asus, step your camera game up.
Konklusi
Asus ProArt Studiobook 16 ternyata bukanlah laptop untuk semua orang. Ia menawarkan spesifikasi yang amat berkuasa, skrin yang sangat menawan, rupa luaran yang sangat menampakkan profil passive aggresive, dan juga tidak dilupakan SD Express 7.0 yang mampu melakukan pemindahan data dengan sangat laju sehingga 985MB/s.
Jadi untuk menjawab persoalan, adakah laptop ini sempurna untuk pencipta kandungan? Jika anda seseorang yang mempunyai jawatan penting dalam media kreatif, laptop ini dapat memenuhi kehendak anda. Namun jika anda ingin menikmati skrin yang cantik sahaja, saya sarankan untuk anda melihat pilihan-pilihan lain yang mungkin lebih berpatutan.
Baca juga: