Hari ini mendarat di pejabat Wiser MY, sebuah laptop yang boleh dikatakan sempurna untuk para pencipta kandungan di luar sana, Asus ProArt Studiobook 16 OLED. Ia hadir dengan spesifikasi yang amat berkuasa, skrin yang menawan, dan satu ciri yang amat berguna untuk para penyunting iaitu Asus Dial. Tanpa membuang masa, mari kita lihat pandang pertama untuk laptop beast ini.
Rupa luaran
Badan laptop ini disaluti dengan kemasan matte black, ia kelihatan minimal dengan tulisan Proart. Seterusnya, dimensi bagi laptop ini adalah 362mm x 264mm x 19.9 ~ 21.4 mm, dengan berat 2.40kg, ia bukanlah sebuah laptop nipis yang mudah untuk anda bawa kemana-mana. Anda mungkin memerlukan beg galas yang cukup besar untuk memudahkan anda bergerak ke destinasi.
Spesifikasi
Model ini hadir dengan beberapa varian, namun model yang kami terima untuk ulasan ini adalah yang paling tinggi, iaitu H5600QR. Ia dilengkapi dengan AMD Ryzen 9 5900HX, skrin 16″ 4K (3840×2400), RTX 3070, 64GB RAM, 1TB SSD. Harga jualan untuk laptop ini adalah RM11,999.
Anda juga boleh mendapatkan pilihan varian lain iaitu:
- H5600QM – AMD Ryzen 9 5900HX, Skrin 16″ 4K (3840×2400), RTX 3060, 32GB RAM, 1TB SSD – RM9,999
- H7600HM – Intel Core i7-11800H, Skrin 16″ 2K (2560×1600), RTX 3060, 32GB RAM, 1TB SSD – RM9,999
Port
Apa yang diperlukan oleh para pencipta kandungan pada sesebuah laptop? Antaranya adalah port yang mencukupi.
Jika dilihat pada bahagian kiri laptop ini, terdapat slot untuk kensington lock, 1x USB-A 3.2, lubang kuasa, HDMI 2.1, 2x USB-C 3.2. Manakala pada bahagian kanan pula ia hadir dengan SD Express 7.0 Card Reader, 3.5mm bicu audio kombo, 1x USB-A 3.2, dan RJ-45 Gigabit Ethernet.
Apa yang menarik tentang SD Express 7.0 Card Reader itu adalah ia berupaya melakukan pemindahan data dengan jauh lebih laju sehingga 985MB/s. Ini akan memanfaatkan para fotografer yang sering melakukan pemindahan gambar bersaiz besar.
Skrin
Bagi saya, skrin adalah antara faktor terpenting untuk diambil kira dalam sesebuah laptop untuk pencipta kandungan, dan Asus berjaya menyempurnakan skrin ini. Resolusi 4K (3,840 x 2,400, 283ppi) dengan panel OLED yang sangat tajam dan jelas, dan juga kecerahan setinggi 550 nits. Seterusnya, ia menyokong 100% DCI-P3 colour gamut, dan juga disahkan oleh Pantone untuk penghasilan warna yang mencerminkan warna di dalam kehidupan sebenar.
Selain itu, nisbah 16:10 juga cukup membantu dalam proses penyuntingan, lebih luas permukaan skrin untuk memaparkan informasi. Namun, untuk pengguna baharu menggunakan nisbah ini, ia akan terasa kekok sedikit pada permulaannya.
Asus Dial
Kemudian, terdapat satu ciri menarik iaitu Asus Dial, ia seperti tombol pengawal yang boleh diputarkan, dan ia terletak di antara keyboard dan touchpad. Ia boleh ditekan dan diputarkan untuk melakukan sebarang tindakan mengikut perisian yang dibuka. Selain itu, ia juga boleh diubahsuai melalui perisian Proart Creator Hub, di mana pengguna boleh menetapkan pelbagai fungsi untuk digunakan.
Antara kegunaan terbaik untuk Asus Dial ini adalah jika ia digunakan untuk perisian Adobe. Ia memudahkan proses penyuntingan seperti mengecilkan atau membesarkan saiz berus pada perisian Adobe Photoshop.
Bateri
Bagi sebuah laptop yang amat berkuasa ini, secara logiknya ia harus datang dengan bateri bersaiz besar, dan ia dikuasakan dengan bateri 90Wh. Saya jangkakan laptop ini boleh bertahan selama 5-6 jam tanpa bateri, dengan kegunaan penyuntingan yang tidak terlalu ekstrem.
Sebagai konklusi untuk reaksi awal laptop ini, saya tertawan dengan kualiti skrin yang sangat jelas. Sudah pasti ia akan memberikan pengalaman yang baik untuk saya melakukan proses penyuntingan. Selain itu, saya juga teruja untuk menggunakan fungsi Asus Dial tersebut, namun saya ada satu ketakutan untuk laptop ini. Ia datang terus bersama Windows 11 Pro. Seperti yang semua tahu, Windows 11 mempunyai beberapa bugs, dan ia mungkin akan menyekat pengalaman saya untuk menggunakan laptop ini. Namun, saya pasti yang ia akan menjadi lebih baik dengan kemaskini yang bakal menyusul. Nantikan ulasan penuh kelak.
Sumber: Asus
Baca juga:
- Ini Barisan Laptop ASUS Yang Guna OLED Sepenuhnya
- Kalau Anda Cari Laptop MSI, Ini Masa Paling Sesuai Untuk Beli
- Nvidia RTX 3070 Ti dan RTX 3080 Ti, Kad Grafik Paling ‘Garang’ Untuk Laptop Anda