Treler kedua Grand Theft Auto VI (GTA 6) akhirnya dilancarkan dan seperti biasa, ia menjadi perbualan hangat komuniti gaming seluruh dunia.
Namun di sebalik hype treler tersebut, satu angka terus tular di media sosial dan forum yang kononnya kos pembangunan GTA 6 mencecah US$2 bilion, atau kira-kira RM9.5 bilion.
Ada yang membandingkannya dengan projek mega seperti Burj Khalifa (±US$1.5 bilion) dan menjadikannya bahan meme.
Tapi persoalan sebenar, adakah angka US$2 bilion ini benar, atau sekadar spekulasi yang diulang-ulang tanpa asas kukuh?
Rockstar tak pernah umum kos sebenar
Setakat artikel ini ditulis, Rockstar Games dan syarikat induknya, Take-Two Interactive, tidak pernah mendedahkan angka rasmi kos pembangunan GTA 6.
Tiada kenyataan media, tiada laporan kewangan, dan tiada dokumen pemegang saham yang menyatakan apa-apa tentang bajet sebenar permainan ini.
Jadi dari mana datangnya angka ‘US$2 bilion’ yang tular itu?
Asal usul “US$2 Bilion” bermula dari ‘leaked’ tahun 2022
Isu ini bermula pada September 2022, apabila seorang hacker membocorkan lebih 90 klip gameplay GTA 6 versi awal (“pre-alpha”).
Dalam satu tangkap layar perbualan yang dikongsikan kepada media seperti Dexerto dan International Business Times, hacker tersebut mendakwa bahawa projek GTA 6 telah pun menelan “lebih US$2 bilion”.
Namun begitu, dakwaan itu dibuat dalam mesej peribadi (DM) tanpa sebarang bukti sah. Tiada invois, tiada dokumen, hanya kata-kata dari individu yang melakukan aktiviti tidak sah.
Walaupun begitu, angka tersebut kemudiannya mula tersebar luas di forum seperti Reddit, portal permainan, YouTube dan media sosial.
Antara yang terus mengulang angka ini termasuk laman seperti FandomWire, Times of India, dan yang terbaru, media arus perdana seperti El País dari Sepanyol yang memasukkan “anggaran US$2 bilion” dalam laporan mereka tentang treler kedua GTA 6, tanpa semakan lanjut.
Adakah kos itu logik?
Jika dilihat secara logik, angka US$2 bilion memang kelihatan sangat tinggi. Malah mengatasi kos membina Burj Khalifa.
Namun ada beberapa sebab kenapa sesetengah pihak menganggap angka ini mungkin masuk akal, walaupun belum disahkan.
Antaranya:
- Tempoh pembangunan yang sangat panjang – GTA 6 dikatakan sudah mula dibangunkan sejak 2014, iaitu lebih 10 tahun lepas.
- Kos pembangunan permainan AAA semakin meningkat, dengan keperluan grafik 4K/8K, teknologi AI, dan pembangunan merentas pelbagai platform (konsol & PC).
- Kos pemasaran dan ‘live service’ – Rockstar terkenal dengan kempen pemasaran berskala besar, dan jika GTA Online 2 turut dirancang, kos sokongan pasca pelancaran akan menjadi sangat tinggi.
- Angka mungkin termasuk semua kos, bukan sekadar pembangunan – Dalam DM, hacker menyebut “lebih US$2 bilion” termasuk marketing, kandungan DLC dan pelancaran jangka panjang, tapi ramai netizen kemudian menyebarkannya sebagai kos pembangunan semata-mata yang menjadikan angka itu nampak lebih luar biasa.
Kos rasmi permainan Rockstar terdahulu yang pernah diumum
Untuk memberi gambaran yang lebih realistik, berikut adalah angka kos pembangunan rasmi dan sah untuk dua projek besar Rockstar sebelum ini:
- GTA V (2013) – Sekitar US$265 juta (pembangunan + pemasaran)
- Red Dead Redemption 2 (2018) – Sekitar US$540 juta (termasuk kos pembangunan dan promosi)
Jelas di sini bahawa GTA 6 memang dijangka jauh lebih mahal berbanding game terdahulu, tapi melangkaui US$1 bilion masih belum dapat dibuktikan secara rasmi.
“US$2 Bilion” masih hanya spekulasi
Beberapa penulis industri dan laman analisis seperti Destructoid telah menyatakan secara terbuka bahawa angka US$2 bilion itu sangat diragui.
Dalam artikel mereka bertajuk “Why the rumored $2 billion GTA 6 budget is unlikely”, mereka menyatakan bahawa kemungkinan besar angka tersebut hanyalah spekulasi semata-mata atau disensasikan oleh komuniti.
Selain itu, laporan kewangan Take-Two juga tidak menunjukkan lonjakan perbelanjaan luar biasa sepanjang tempoh pembangunan yang mencadangkan bajet sebesar itu.
Jadi, berapa kos sebenar GTA 6?
Jawapan jujur buat masa ini ialah tiada siapa tahu.
Namun, yang pasti:
- Rockstar tidak pernah mengesahkan jumlah tersebut.
- Angka US$2 bilion berasal dari maklumat tertiris yang tidak dapat disahkan.
- Media dan netizen hanya mengulangi dakwaan itu tanpa bukti rasmi.
Oleh yang demikian, sebelum kita percaya bulat-bulat dan menyebarkan info seperti “GTA 6 lagi mahal dari Burj Khalifa”, eloklah kita semak semula sumbernya kerana kemungkinan besar, ia hanya satu lagi contoh “telephone game” di internet, di mana satu kenyataan tidak lengkap berubah menjadi ‘fakta’ selepas banyak kali diulang.
Jika anda nampak angka luar biasa itu lalu terfikir, “logik ke US$2 bilion untuk satu game?”, jawapan paling tepat sekarang adalah belum tentu, dan besar kemungkinan, tidak.
{suggest}