Konami Keluarkan Video Trailer Rasmi Bagi Permainan Video PES 2019

Syarikat pembangun permainan video dari Jepun, Konami telah memuat naik satu video trailer bagi permainan video bola sepak mereka, Pro Evolution Soccer 2019 pada minggu lepas. Video berdurasi lebih kurang 1 minit 24 saat itu dimuat naik di Youtube menerusi siaran 'officialpes'.

https://www.youtube.com/watch?v=7fgZD42pGDo

Konami pada kali ini telah memilih pemain bintang Brazil dan Barcelona sebagai duta global bagi permainan tersebut. Pada keluaran PES 2018, mereka sudah mengambil pasukan yang diwakili Coutinho, Barcelona FC sebagai ikon bagi menghias muka depan permainan tersebut.

Pada kali ini, PES 2019 akan dilancarkan dalam tiga edisi iaitu Standard, David Beckham dan Legend Edition. Selain Coutinho yang menghiasi muka depan bagi Standard Edition, legenda bola sepak England, David Beckham pula akan memegang tugas sama bagi dua edisi yang lain.



Antara pembaharuan yang terdapat dalam PES 2019 kali ini ialah cuaca salji akan dapat digunakan buat kali pertama selain pemain mod Master League kini akan dapat menyertai kejohanan pramusim sebelum musim baru bermula. Selain itu, fungsi pertukaran pantas tanpa memerlukan permainan dihentikan juga dimasukkan pada edisi kali ini.

Permainan video ini akan dilancarkan di peringkat global pada 30 Ogos nanti, namun pra-tempahan sudah boleh dibuat mulai 10 Mei yang lalu. Malangnya, PES 2019 cuma akan hadir menemui anda di PC, PS4 dan Xbox One.