KiplePay Kini Boleh Mengeluarkan Kad Prabayar Visa

KiplePay Sdn Bhd hari ini mengumumkan syarikat tersebut kini boleh mengeluarkan kad prabayar Visa di samping turut menyertai program Laluan Pantas FinTech (FinTech Fast Track program) anjuran Visa.

Sebagai peneraju dalam pembayaran digital, Visa telah memperluaskan program Laluan Pantas Fintech di Malaysia untuk membolehkan syarikat-syarikat FinTech memperoleh akses ke rangkaian Visa.



 

Kay Tan, Ketua Pegawai Eksekutif KiplePay berkata perkongsian strategik dengan komuniti FinTech oleh Visa telah membuka peluang kepada KiplePay untuk memperluaskan penawaran produk dan penyelesaian mereka. Apabila kad prabayar Visa dikeluarkan kelak, ia membolehkan pembayaran dalam dan luar talian menggunakan kelayakan pembayaran 16 digit.

Dalam pada itu, KiplePay dan Visa akan bekerjasama untuk meningkatkan penawaran e-dompet termasuk pengeluaran wang dan akses kepada 61 juta peniaga di lebih daripada 200 negara.

Perkongsian dengan Visa ini juga akan membolehkan pengguna e-dompet dan pelanggan label putih KiplePay menggabungkan penawaran e-dompet mereka sama ada dengan kad Visa fizikal, atau secara maya.