Kami telah banyak berkongsi berkenaan pembuatan kereta Apple. Terdahulu, beberapa sumber telah mengeluarkan imej janaan komputer untuk kereta Apple berdasarkan paten yang telah didaftar.
Projek kereta Apple atau juga dikenali sebagai Project Titan sudah mengalami pelbagai perubahan pentadbiran sejak 2014. Mereka telah meneroka dua hala tuju sama ada untuk membangunkan kereta dengan kemampuan swapandu terhad dengan fokus pada stereng dan pecutan atau, kereta dengan kemampuan swapandu sepenuhnya tanpa penglibatan pemandu.
Di bawah kepimpinan baharu iaitu Kevin Lynch, yang juga terlibat dalam Apple Watch, mereka kini terarah pada pilihan kedua iaitu kereta dengan keupayaan swapandu sepenuhnya.
Oleh itu, versi ideal untuk itu akan menampilkan kereta sulung mereka hadir tanpa stereng dan pedal dan keseluruhan reka bentuknya akan menyasarkan pengalaman pemanduan swapandu. Antara perkara yang dibincangkan antara pihak dalaman ialah untuk mereka bentuk tempat duduk menghala ke arah satu sama lain seperti limosin. Ini selari dengan imej yang kami kongsikan tempoh hari.
Ia juga akan menyertakan sistem infotainment di tengah-tengah, mungkin termasuk iPad, memberikan pengalaman menarik menaikinya. Walaupun mereka lebih ke arah kereta tanpa stereng namun sedang berkira-kira untuk mod pengambilalihan kecemasan yang mungkin melihatkan menyertakan stereng atau seumpamanya.
Apple percaya mereka mereka telah mencapai banyak kemajuan penting untuk pembangunan kereta swapandu mereka. Bagaimanapun, agak mustahil untuk melihat teknologi pemanduan swapandu sepenuhnya seperti ini diaplikasikan dalam masa terdekat.
Sumber: Bloomberg
Baca juga: