Sebut sahaja negara Jepun, pasti benda pertama yang terlintas dalam kepala ialah kehebatan teknologi dan gaya hidup di Jepun. Tidak ketinggalan juga dengan sistem pengangkutan awam seperti kereta api di Jepun yang penuh efisien.
Berdasarkan perkongsian oleh saudari Zunita Ramli di Facebook, untuk mencapai kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam seperti di Jepun memerlukan dua perkara penting iaitu kemahiran pemandu dan kecekapan infrastruktur.
Zunita yang menetap di Jepun berkongsi pengalaman tentang perkhidmatan kereta api di sana, setiap pemandu diwajibkan untuk menjalani latihan simulasi intensif sekurang-kurangnya 6 bulan.
Katanya, latihan ini dilakukan seperti dalam keadaan pemanduan sebenar, yang melibatkan gegaran kereta api, bunyi, dan pemandangan luar.
Sewaktu memandu, mereka ini juga ditemani oleh Penolong Pemandu, yang bertugas sebagai Penjaga Masa (Time Cop Assistant).
Tujuannya adalah untuk memantau pemandu sama ada kereta api yang dipandu sedang bergerak dengan terlalu cepat atau terlalu perlahan.
Untuk pengetahuan, Zunita mengatakan jika kereta api lambat 1 minit sekalipun, sudah dikira lewat di Jepun, oleh itu, had kelajuan dan ketepatan masa sangat dititikberatkan di sana.
Selain itu, kualiti infrastruktur kereta api juga dijaga dengan penuh rapi di sana.
Menurut Zunita, pemeriksaan landasan dan infrastruktur kereta api biasanya dilakukan secara manual dan bukan menggunakan mesin.
Ini kerana mereka percaya hanya manusia sahaja yang boleh memastikan landasan betul-betul dalam keadaan terbaik.
Natijahnya, mungkin ini boleh dijadikan panduan dan penanda aras untuk perkhidmatan kereta api di Malaysia supaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat di samping menggalakkan rakyat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.
Sumber: Facebook Zunita Ramli
Sumber gambar: Facebook Zunita Ramli
Baca juga: