MacBook Pro, cip M1 Pro dan M1 Max adalah antara produk terbaru Apple yang menjadi bualan hangat peminat teknologi sejak beberapa hari ini yang secara tidak langsung memberi tamparan hebat buat pesaing seperti Intel.
Dengan pelancaran MacBook Pro beberapa hari lepas, Apple juga mengumumkan kemas kini bagi perisian terkenal mereka iaitu Final Cut Pro dan Logic Pro akan menerima beberapa fungsi baru selari dengan MacOS Monterey dan kemampuan cip paling berkuasa mereka setakat ini iaitu M1 Pro dan M1 Max.
Final Cut Pro 10.6
Antara fungsi terbaru di Final Cut Pro ialah kemampuan untuk menyunting video yang dirakam menggunakan mod Cinematic Mode di siri iPhone 13 dengan melaraskan ‘depth effect’ serta menggunakan ‘keyframe’ untuk mengubahnya. Hanya dengan klik pada wajah atau objek, pengguna boleh menambah atau memadam titik fokus tanpa perlu melakukan penggambaran semula.
Selain itu, fungsi Object Tracker membolehkan pengguna mencipta grafik beranimasi yang mengikut pergerakan wajah atau objek dalam video. Analisis penjejakan objek kali ini 5 kali lebih pantas pada MacBook Pro baharu dengan bantuan Neural Engine yang menggunakan kelebihan pembelajaran mesin.
Di MacBook Pro pula, pengguna kini boleh menstrim tujuh video 8K ProRes pada resolusi penuh dan mengeksport video ProRes 5 kali lebih pantas.
Melengkapkan Final Cut Pro, Motion di MacBook Pro mampu mempercepatkan proses ‘render’ sebanyak 2 kali lebih cepat dan memainkan 2 video beresolusi 8K pada kadar bingkai 5 kali ganda.
Bukan setakat itu sahaja, compressor pada MacBook Pro mampu melakukan transkod video HEVC dengan 2 kali lebih pantas dan transkod video ProRes dengan 10 kali lebih laju. Buat kali pertamanya, fail video Canon Cinema RAW Light juga boleh ditranskod ke format lain seperti ProRes dan H.264.
Logic Pro 10.7
Logic Pro, perisian bagi menggubah lagu dan muzik, kini hadir dengan alatan yang lengkap untuk ‘mixing’ dan ‘rendering’, membenarkan pengguna menggubah muzik mereka sebagai fail Dolby Atmos yang serasi dengan Apple Music. Sebagai tambahan, 13 plug-in termasuk Space Designer, Limiter, Loudness Meter and Tremolo juga diberi kemas kini.
Producer Packs yang diperkenal dalam Garageband juga membenarkan pengguna menggunakan ‘beats’, ‘loops’ dan sampel daripada Boyz Noise, Mark Lettieri, Mark Ronson, TRAKGIRL dan beberapa yang lain.
Harga
- Final Cut Pro 10.6 adalah percuma bagi pelanggan sedia ada dan RM1,299.90 bagi pelanggan baru di Mac App Store.
- Motion 5.6 dan Compressor 4.6 adalah percuma bagi pelanggan sedia ada dan RM199.90 setiap satu bagi pelanggan baru di Mac App Store.
- Logic Pro 10.7 adalah percuma bagi pelanggan sedia ada dan RM799.90 bagi pelanggan baru di Mac App Store.
- Pengguna Mac boleh mendaftar untuk tempoh percubaan percuma Final Cut Pro dan Logic Pro. Namun boleh dapatkannya lebih murah dengan membeli Pro Apps Bundle jika pengguna membeli peranti di Apple Education Store pada harga RM799.90.
Apa-apa pun, kesemua perisian di atas boleh mula dikemaskini bermula hari ini.
Sumber: Siaran Akhbar Apple
Baca juga: