Selain melancarkan AirPods Gen 3, Apple turut memperkenalkan MacBook Pro baharu. Bukan sahaja komputer riba ini dilengkapi “nadi” baharu M1 Pro dan M1 Max, ia juga menampilkan rekaan sedikit berbeza berbanding barisan MacBook yang lain.
Model Pro kali ini memang sesuai dengan namanya. Ia dilengkapi paparan Liquid Retina XDR dengan teknologi mini LED, sama seperti yang digunakan pada iPad Pro. Paparannya mampu menawarkan kecerahan 1000nits dengan maksimum 1600nits, resolusi 3456×2234 dan menyokong ProMotion 120Hz.
Selain itu, bagi memberikan skrin lebih luas, MacBook Pro juga mempunyai takuk di mana menempatkan kamera beresolusi 1080p.
Tambahan lagi, ia juga akhirnya lebih berbaloi dan bermakna buat golongan profesional yang menggunakan MacBook Pro untuk kerja-kerja penyuntingan.
Hal ini kerana MacBook Pro telah kehilangan Touch Bar dan digantikan kekunci tradisional. Pengecasan MagSafe 3 juga akhirnya kembali ke pangkuan MacBook bersama-sama HDMI, port Thunderbolt 4, bicu audio dan pembaca kad SDXC.
Lain-lain adalah jangka hayat bateri lebih lama, storan dalaman sehingga 8TB, memori sehingga 64GB RAM serta 6 sistem pembesar suara dengan spatial audio.
MacBook Pro 14 inci dijual pada tanda harga bermula RM8799 dan MacBook Pro 16 inci pula bermula RM10799.