“Akhirnya, iPad mampu menggantikan Macbook!”
Apabila Apple mengumumkan iPad Pro 2021 menggunakan cip pemprosesan Apple M1 yang turut digunakan pada barisan Macbook sebelumnya, ramai yang meletakkan harapan yang tinggi.
Tetapi ramai yang menzahirkan perasaan kecewa selepas ipad OS 15 diperkenalkan pada acara WWDC apabila Apple masih lagi tidak mengimplementasikan MacOS kepada iPad.
“Apa guna pakai cip M1 yang power tapi iPadOS masih tak gunakan sepenuhnya?”
Pada mereka, iPad Pro 2021 kali ini sekurang-kurangnya boleh menjalankan beberapa aplikasi “A-listed” seperti Final Cut Pro, sistem pengurusan simpanan fail dan antaramuka pelayaran web yang digunapakai di Mac
Malah ada juga yang meminta MacOS diimplementasikan keseluruhannya kedalam iPad.
Mungkin ideologi ini mula timbul semenjak Apple mengetengahkan Magic Keyboard untuk iPad, secara tidak langsung memberikan gambaran pada semua yang iPad seterusnya mampu menggantikan Macbook.
Kalau iPad boleh melakukan semuanya seperti Macbook, maka apa guna Macbook wujud?
Saudara-saudari sekalian, suka untuk saya ingatkan bahawasanya kewujudan iPad adalah untuk mengimbangi ekosistem Apple. iPad menghidangkan skrin lebih luas dan cantik berbanding iPhone manakala iPad lebih ringan dan praktikal bersama sokongan Apple Pensil berbanding Macbook- Bukankah kewujudan tablet sebelum ini sudah menjawab segalanya?
Tidak dinafikan, iPad OS 15 kali ini hanya memperlihatkan beberapa perubahan kecil dengan memperkemaskan beberapa ciri sedia ada seperti Split view, Center window, rekaan tab Safari diperkemaskan dan fungsi Quick Note.
Dari sudut multi-tugas, iPad OS 15 memberikan pengalaman lebih kemas terutamanya ketika melayari laman web walaupun tidak sebaik MacOS tetapi ia memberikan pengalaman unik yang tersendiri.
“Ah, buat rugi je, setakat multi-tasking baik beli iPad Air 2020 atau Macbook Air je”
Ya, betul. Pertama duit anda hak anda. Tidak ada pembelian yang rugi di dunia ini, maksud ‘rugi’ adalah berbeza bergantung pada persepsi, taraf hidup dan kemahuan masing-masing.
Kedua, saya rasa Apple adalah syarikat yang bijak dalam bisnes, adalah mustahil untuk mereka mencipta produk yang bersaing dengan produk mereka sendiri. Setiap barisan peranti mereka mempunyai kelebihan dan kekurangan, dihidangkan mengikut selera dan keperluan tertentu.
Pada masa yang sama, saya juga merasakan iPad Pro M1 kali ini tidak diberi peluang untuk beraksi pada tahap yang sepatutnya.
Seperti Usain Bolt Berlari 100 Meter Dengan Pelajar IPTA
Saya faham iPad lebih tertumpu kepada golongan yang mahu melakukan tugasan secara pergerakkan bebas seperti dalam pembelajaran, pelukis digital, pereka grafik atau jurugambar professional melalui aplikasi seperti Procreate, Adobe Lightroom, Adobe Photoshop versi iPad etc sememangnya memberikan pengalaman yang memuaskan.
Malah dengan sokongan menyeluruh dari pembangun aplikasi dan penggunaan Apple Pencil membuatkan iPad adalah peranti suntingan “on-the-go” pilihan ramai, jauh meninggalkan tablet jenama lain di pasaran.
Aplikasi suntingan video seperti LumaFusion atau Adobe Rush iaitu versi Adobe Premiere Pro yang telah diringkaskan supaya dapat disesuaikan dengan penggunaan skrin sentuh (swipe) pada iPhone dan iPad.
Maka terdapat limitasi dan beberapa fungsi yang tidak disertakan. Kekurangan fungsi ini juga menyebabkan ramai penyunting video professional hanya boleh melakukan tugasan seperti potongan dan gabungan video (offline), kemudiannya tugasan tersebut perlu disambung pada perisian yang lebih berkebolehan pada Mac atau PC terutamanya untuk proses Transition, Animation, Audio dan Color Grading.
Dengan skrin 12.9 inci Liquid Retina XDR yang mampu memaparkan rakaman HDR pada kualiti sebenar dan cip pemprosesan M1 yang berkuasa tinggi, pembangun aplikasi perlu mengambil kesempatan dengan kebolehan yang ada pada iPad sekurang-kurangnya dapat menyediakan suntingan video yang lebih praktikal berbanding apa yang disediakan pada peranti iOS.